gambar hiasan |
SINGAPURA: Seorang pegawai tinggi bank berusia 40 tahun diserang angin ahmar dan akhirnya lumpuh sebelah badan selepas mendapatkan urutan leher.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Lin berkata, doktor yang merawatnya mengesyaki urutan kuat telah memecahkan pembuluh darahnya dan mengakibatkan serangan angin ahmar.
Lin kini pekak di sebelah telinga dan menjalani terapi untuk memulihkan semula pergerakan di bahagian kiri tubuhnya, lapor akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Wanbao.
Menurut akhbar itu, Lin adalah Penolong Pengarah di sebuah bank dan berada di China baru-baru ini untuk menziarahi rakannya.
Ketika berada di sana, dia mengunjungi sebuah rumah urut untuk mendapatkan urutan kaki. Ekoran saranan seorang ahli terapi, dia sebaliknya, memutuskan untuk mencuba urutan leher.
Selepas diurut, dia berasa sihat saja. Bagaimanapun, tiga hari kemudian, dia berasa amat sakit di bahagian kiri kepalanya.
Ketika bangun pagi keesokan harinya, dia mendapati telinga kirinya sudah pekak. Dia juga tidak dapat menggerakkan bahagian kiri tubuhnya dan tidak dapat berjalan dengan stabil.
“Saya rasa sangat takut. Semuanya berlaku dengan pantas, ia seperti malang tidak berbau,” katanya.
Ekoran sukar untuk bergerak, Lin tidak dapat pulang segera ke Singapura untuk rawatan.
Lin dihantar ke sebuah hospital di Hong Kong dan dirawat kira-kira dua minggu hingga doktor mendapati dia cukup sihat untuk terbang pulang.
Lin memberitahu Chinese Daily, doktor mengesyaki terapi urutan leher yang dijalaninya menyebabkan dinding pembuluh arterinya terkoyak tanpa sengaja.
Kerosakan itu menyebabkan laluan arteri tertutup mengakibatkan pengaliran darah terganggu.
sumber- Lianhe Wanbao
0 comments:
Post a Comment