Friday, September 14, 2012

Pelakon filem anti-Islam marah penerbit

Cindy Lee Garcia

LOS ANGELES - Pelakon filem anti-Islam yang mencetuskan rusuhan di Libya dan Mesir, hari ini melahirkan kemarahannya kerana mereka telah dieksploitasi oleh penerbit filem tersebut.

Saluran televisyen CNN yang memetik kenyataan bersama pelakon dan kru filem itu sebagai berkata, mereka sedih dan merasa dipergunakan oleh penerbit.

''Kami 100 peratus tidak menyokong filem itu... Kami terkejut dengan perubahan skrip dan penipuan terhadap semua yang terlibat,'' kata kenyataan itu.

Seorang daripada pelakon tersebut, Cindy Lee Garcia yang memegang watak wanita yang menyerahkan anaknya untuk dikahwinkan dengan watak yang didakwa Nabi Muhammad berkata, dia tidak tahu filem itu merupakan propaganda anti-Islam dan dialog yang digunakan telah diubah selepas penggambaran.

Garcia berkata, dia diminta untuk berlakon dalam filem bertajuk Desert Warrior pada tahun lepas.

''Ia sepatutnya mengenai kehidupan pada 2,000 tahun lalu. Tidak ada apa-apa mengenai Nabi Muhammad atau perkara lain.

''Ia tidak seperti apa yang berlaku semasa penggambaran. Klip video yang ditayangkan sangat pelik,'' katanya.

Perubahan dialog tersebut dapat dilihat dalam klip filem selama 14 minit melalui dalam talian dengan beberapa perkataan dimasukkan termasuk nama Nabi Muhammad dan Islam dalam dialog yang diucapkan pelakon.

Sementara itu, perunding skrip filem tersebut, Steve Klein mendakwa tajuk asal filem tersebut adalah Innocence of Bin Laden.

Katanya, filem itu ditayangkan di Vine Theater pada hujung Jun dan hanya ditayangkan di Hollywood sahaja. 

sumber- AGENSI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...