Friday, September 14, 2012

Mayat rentung di dalam semak

mayat dalam semak
ANGGOTA polis memeriksa satu mayat rentung yang ditemui di dalam semak di Jempol semalam.
JEMPOL - Hajat seorang lelaki Orang Asli untuk membuang air kecil di dalam semak terbantut selepas dia terkejut apabila menemui satu mayat rentung di pusat pembuangan sampah di Kilometer 9 Jalan Jelai-Rompin berhampiran Ladang Bukit Tinggi, Rompin di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, mayat itu ditemui pada pukul 8.30 pagi oleh penoreh getah berusia 21 tahun tersebut ketika dia hendak membuang air kecil.

"Sebaik sampai di tempat kejadian, dia hairan apabila melihat ada kesan lalang terbakar. Selepas diamatinya, dia terkejut apabila menemui mayat yang rentung lebih 50 peratus di kawasan tersebut.

"Dia kemudian bergegas memberitahu rakannya sebelum menghubungi polis. Pemeriksaan mendapati mayat lelaki itu rentung menyebabkan identiti dan jantinanya sukar dikenal pasti," katanya di sini semalam.

Tambahnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa kemungkinan telah dibakar di tempat kejadian dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui. Jarak mayat dijumpai dari jalan besar ialah kira-kira 30 meter.

Menurut Hamzah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat dan kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...