Friday, September 14, 2012

Lelaki bertopeng larikan ATM bersama RM150,000

ATM Bank
Anggota Forensik menjalankan siasatan selepas sekumpulan lelaki melarikan sebuah ATM di Seremban 2 hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN - Sekumpulan lelaki bertindak nekad melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank yang mengandungi wang tunai RM150,000, di Seremban 2, awal pagi ini.
   
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamarudin berkata kejadian antara 3.15 pagi hingga 4 pagi itu dirancang rapi kumpulan penjenayah terbabit.
   
"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kita dapati semua suspek memakai topeng dan dipercayai lebih daripada tiga orang dan mereka mulanya bertindak menyembur cat pada CCTV," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 Sekumpulan lelaki larikan mesin ATM mengandungi RM150,000 di Seremban

Menurutnya perompak terbabit kemudian bertindak memecahkan dinding cermin di premis bank tersebut menggunakan tukul besi, sebelum memotong dan melarikan satu daripada sembilan mesin ATM dan deposit wang bank berkenaan.
   
Katanya, kejadian itu menyebabkan penggera di bank berkenaan berbunyi, namun suspek berjaya mematikan sistem penggera.

 Sekumpulan lelaki larikan mesin ATM mengandungi RM150,000 di Seremban

Katanya, kejadian rompakan itu disedari kira-kira 6.50 pagi oleh seorang pelanggan yang kebetulan mahu mengeluarkan wang di bank berkenaan sebelum menghubungi polis.
   
Mesin ATM yang dilarikan itu berjaya ditemui di sebuah ladang di Jalan Labu, dekat sini, pada 11 pagi tadi, namun semua wang telah dilarikan, katanya.
     
Polis kini meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti suspek terlibat.
   
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban atau talian 06-6033222 untuk membantu siasatan. 

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...