Polis dan Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri melakukan siasatan berhubung penemuan mayat berkenaan. |
PORT DICKSON – Niat orang awam untuk berekreasi di pantai Port Dickson, di sini, membawa kepada penemuan satu mayat dewasa yang masih belum dikenal pasti identitinya yang ditemui tersangkut pada batu di Pantai 3 ½ Bagan Pinang, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pada jam 4.20 petang.
“Keadaan mayat ketika dijumpai tidak berpakaian dan beberapa anggota badan telah rosak sehingga menyukarkan polis untuk mengenal pasti identiti mangsa.
“Mayat terbabit tersangkut pada batu susulan air pantai surut dan polis percaya mangsa meninggal lebih dari tiga hari. Pasukan Bomba dan Penyelamat Port Dickson kemudiannya membantu membawa mayat berkenaan ke darat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati anggota badan mangsa tidak mempunyai sebarang kesan luka ataupun tikaman.
“Mayat berkenaan dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian,” katanya.
Sementara itu, Abd Wahab berkata, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau sanak saudara diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Port Dickson di talian 06-6472222 bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
sumber- Sinar
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment