Sunday, October 7, 2012

Pecut selepas gilis mangsa

eksiden di Alor Gajah
Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
ALOR GAJAH – Seorang pemandu treler bertindak memadam lampu dan memecut laju kenderaannya sebaik saja menggilis seorang penunggang motosikal di Jalan Garing, Machap Baru, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, penunggang motosikal warga Nepal, Tek Bahadur Tamang, 23, melambung selepas motosikal jenis Suzuki RG yang dinaiki bersama rakannya, Santha digesel treler terbabit, sebelum dia digilis tayar belakang kiri kenderaan berat itu.

Saksi kejadian, Mohd Fauzi Mohamad Nor, 33, berkata, ketika kejadian, dia memandu kereta bersama isteri dan tiga anaknya yang berada di belakang treler berkenaan pada jarak kira-kira 20 meter.

“Saya melihat treler itu cuba memotong motosikal dinaiki mangsa di sebelah kiri. Tiba-tiba berlaku pergeseran sehingga api keluar dari motosikal berkenaan.

“Saya lihat mangsa melambung sebelum terjatuh ke atas jalan raya, kemudian digilis pula dengan tayar belakang treler itu. Manakala rakan mangsa tercampak ke tebing jalan dan keduanya tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, kelmarin.

Menurutnya, pemandu treler itu tidak berhenti, malah terus memecut laju meninggalkan mangsa di atas jalan.

“Saya membunyikan hon ke arah treler berkenaan, namun pemandunya terus memecut laju, malah bertindak memadamkan lampu serta memotong beberapa kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, dia terus mengekori treler berkenaan untuk mengesan nombor pendaftarannya.

“Dengan memasang lampu tinggi, saya dapat lihat jelas nombor pendaftaran treler itu sebelum bertindak berpatah balik ke tempat kejadian dan melihat keadaan mangsa bersama beberapa pengguna jalan raya yang membantu,” katanya.

Katanya, ketika itu, mangsa masih bernyawa dan orang ramai membawanya ke Hospital Melaka, sebelum membuat laporan di Balai Polis Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...