Sunday, November 4, 2012

Tak sangka anak sendiri

Keadaan mangsa yang dilanggar lari sebuah kenderaan di Jalan Bandar Putra Permai, pagi, semalam.
SERI KEMBANGAN -  “Perut dia terburai, muka dia hancur menyebabkan saya hampir tidak cam itu wajah anak lelaki saya sendiri, kata M Sundera Raju, 61,  bapa kepada seorang juru kimpal  yang maut dalam satu kemalangan di Jalan Bandar Putra Permai, pagi, semalam.

Kata Sundera, sebelum kejadian dia ada melalui jalan di mana anaknya dipercayai terbabit  kemalangan namun tidak menyangka mangsa  yang maut membabitkan darah dagingnya sendiri.

Katanya, dia melihat darah penuh di atas jalan namun tidak memberhentikan kenderaan kerana perlu mengambil penumpang yang mahu menaiki teksi dipandunya.

Sundera memberitahu dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi isteri sebelum bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya, S Muniandy, 25, yang maut dalam keadaan mengerikan itu.

“Ketika dalam perjalanan mengambil penumpang, saya memang sudah nampak kemalangan itu, saya juga ada beritahu rakan nampak kemalangan itu sangat teruk kerana darah penuh di atas jalan.

“Memang tidak disangka, mangsa yang maut itu rupanya anak saya sendiri,” katanya memberitahu anak keempatnya daripada lima beradik itu keluar rumah sejak jam 9 malam kelmarin menunggang sebuah motosikal sebelum mayatnya yang terbaring ditemui orang ramai.

Sundera berkata, hanya air mata yang dapat menggambarkan perasaan sedih melihat keadaan anaknya itu di rumah mayat Hospital Serdang.

“Sedih sangat...kepalanya pecah dan tubuh badannya teruk menyebabkan pada mulanya sukar mengecam mayat anak sendiri,” katanya lagi kepada Sinar Harian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.15 pagi di Jalan Putra Permai dari arah Seri Kembangan menuju ke Taman Equine.

Katanya, mangsa yang dipercayai hendak melintas jalan di persimpangan lampu isyarat dirempuh sebuah kenderaan sebelum dipercayai digilis dan tercampak di tengah jalan.

“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci giat dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, saksi kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-8074 2222 atau 016-905  5595 untuk membantu siasatan.

sumber- Sinar

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...