Sunday, July 22, 2012

Dua Lelaki Ditahan Bersama 500 Paket Air Ketum


KULIM – Dua lelaki seorang daripadanya warga emas ditahan polis bersama 505 paket plastik berisi air ketum, daun ketum kering dan alat memproses minuman tersebut dalam operasi di dua lokasi di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, dekat sini, petang Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Chin Soo Song berkata dalam operasi di lokasi pertama, kira-kira pukul 5.30 petang, sepasukan polis diketuai Insp Mohd Amin Yohan Rose menahan seorang suspek berusia 45 tahun.

Katanya dalam operasi di rumah tidak bernombor itu, pihaknya merampas 100 paket plastik berisi cecair daun ketum berjumlah 50,000 ml isipadu dan 1,500 gram daun ketum kering bersama peralatan memproses iaitu periuk besar, tong dan dapur gas.

“Dalam serbuan kedua di satu lokasi terletak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan dalam sebuah rumah dan merampas sebanyak 405 paket plastik berisi cecair air ketum berjumlah 202,500 ml isi padu bersama peralatan memproses,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, Selasa. Katanya polis yakin kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai hubungan antara satu dengan yang lain.

Harga pasaran air ketum berkenaan adalah antara RM5 hingga RM7 sepaket plastik.

Chin berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga minggu depan dan mereka disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama empat tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...