Sunday, July 22, 2012

Hari pertama Ramadan dicemari

Hari pertama Ramadan dicemari
Lelaki bertopi keledar merah (dalam bulatan) dipercayai baru selesai keluar dari restoran berkenaan.
GEORGETOWN – Hari pertama Ramadan sudah pun dicemari dengan perbuatan segelintir umat Islam yang dilihat membeli makanan di beberapa restoran di sini, semalam, walaupun waktu untuk berbuka masih terlalu awal.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tindakan seorang lelaki membeli makanan dan minuman di restoran tersebut tanpa segan silu boleh menjatuhkan imej agama Islam.

Lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut dalam keadaan selamba memilih sajian di sebuah kedai sebagai hidangan tengah hari.

Selain itu, beberapa buah restoran turut beroperasi seperti hari kebiasaan dan yang lebih menyedihkan ialah kebanyakan pembeli adalah orang Islam.

Pekerja swasta, Mad Shukri, 44, berkata individu ini perlu ditangkap dan denda setimpal untuk beri kesedaran bahawa perbuatan itu dimurkai ALLAH.

“Jangan berkompromi dengan kesalahan ini kerana jika tidak dibendung ia akan menjadi rutin tahunan dan mencemarkan bulan yang mulia ini,” katanya pada Sinar Harian.

Berbeza rakannya, pekerja swasta Nor Azli Mohd Nor, 36, berpendapat, Ramadan memang biasa dikaitkan dengan 'plastik hitam' yang menjadi pelindung makanan dibeli.

"Pemilik premis tidak semestinya mensasarkan jualan kepada orang Islam dan mereka juga tidak melanggar peraturan sekiranya beroperasi selepas jam 3 petang," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Rosli Mohd Saad, 47, berkata, individu terlibat mungkin ada alasan tertentu.

"Apa pun, jika mereka melakukannya secara terbuka, mereka patut malu dengan perbuatan itu," katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...