NEW YORK - Hos stesen televisyen CNN yang juga editor undangan majalah Time, Fareed Zakaria (gambar) digantung kerja mulai Jumaat lalu selepas mengaku memplagiat sebuah artikel mengenai kawalan senjata api yang ditulis oleh seorang penulis lain.
Time menyatakan, pihaknya menggantung Zakaria selama sebulan sambil menunggu perkembangan selanjutnya. CNN juga mengambil langkah sama tanpa meletakkan tempoh khusus penggantungan Zakaria.
Tindakan itu dibuat selepas Zakaria menyatakan permohonan maaf secara terbuka kerana memplagiat esei tulisan Jill Lepore dari New Yorker untuk kolumnya di majalah Time terbitan minggu ini.
"Para wartawan menyatakan bahawa beberapa perenggan dalam kolum tulisan saya di majalah Time mempunyai banyak persamaan dengan esei yang ditulis oleh Jill Lapore untuk isu 23 April akhbar New Yorker. Mereka betul. Saya mengaku telah melakukan satu kesilapan yang amat besar," kata Zakaria dalam permohonan maafnya.
Jurucakap Time, Ali Zelenko memberitahu, pihaknya menerima permohonan maaf Zakaria, walaupun perbuatan tersebut telah merosakkan standard semua kolumnisnya.
Menurut CNN, penggantungan Zakaria dibuat kerana tulisannya dalam blog CNN.comm adalah sama seperti yang disiarkan di majalah Time.
Lelaki kelahiran India itu pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Yale dan Harvard. Dia merupakan editor urusan majalah Foreign Affairs dan editor majalah Newsweek International selama sepuluh tahun sebelum berhijrah ke CNN serta menjadi hos rancangan Fareed Zakaria GPS pada tahun 2010.
sumber- Reuters
0 comments:
Post a Comment