KERETA jenis Ford Fiesta pemberian anak Mariam kepadanya. |
TENAGA Mariam Abdul masih kuat meskipun usianya sudah melebihi 70 tahun. Dia juga bersyukur kerana tidak menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.
Lututnya juga sihat, tidak seperti kebanyakan wanita yang seusianya.
“Alhamdulillah saya boleh melakukan urusan harian dan beribadat seperti biasa,” ujar beliau.
Kehidupan ibu tunggal ini boleh dikatakan lengkap serba-serbi.
Malah, mungkin ramai yang kagum melihat nenek kepada lapan orang cucu ini memandu sebuah kereta baharu yang sporty.
Kereta jenis Ford Fiesta berwarna merah berharga lebih RM80,000 itu merupakan pemberian anaknya pada awal tahun ini.
“Anak sulung bersungguh-sungguh minta saya datang ke rumahnya.
“Dia mengajak saya untuk makan tengah hari tetapi dia berikan kereta pula.
“Saya menangis dan berasa sangat bersyukur semasa dia memberikan kunci kereta itu kepada saya,” cerita Mariam yang ditemui di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor.
Sebelum ini, Mariam menggunakan kereta Proton Wira sahaja.
“Ia memang selesa dan laju berbanding kereta sebelum ini. Jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur memerlukan saya pergi ke beberapa tempat pada kadar segera.
Duniawi
“Selain itu, mudah untuk saya ke surau dan masjid bagi mengikuti kelas pengajian agama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Rasa seperti orang muda pun ada,” katanya ketawa.
Kru Jurnal sempat menaiki kereta bergear automatik itu sambil dipandu Mariam.
Ternyata, gaya pemanduan Mariam seperti orang muda yang dapat mengawal stereng dengan kemas. Adakalanya dia memecut melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan penulis kecut perut.
“Orang lama macam saya suka mendengar lagu-lagu lama di stesen radio Klasik Nasional,” cerita Mariam.
Sebenarnya, kereta baharu itu tidak pernah diminta oleh Mariam. Pada penghujung usia sekarang, dia menganggap hubungan dan kasih sayang ibu-anak adalah sumber kegembiraan sejati yang melebihi daripada segala kebendaan duniawi.
Daripada pengamatan penulis, wanita ini sememangnya bahagia dengan kehidupannya walaupun dia terpaksa bergelar ibu tunggal selama kira-kira 30 tahun.
Mariam yang berasal dari Sungai Petani, Kedah bercerai dengan suami setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga. Dia berkahwin semasa berumur 25 tahun.
Dia tidak menyalahkan bekas suami atas keruntuhan mahligai perkahwinan mereka sebaliknya menganggap ia dugaan Tuhan untuk menjadikannya lebih matang dan kuat.
Ibu tunggal
“Sebelum bercerai, saya sudah cuba hidup bermadu selama empat tahun tetapi akhirnya saya tidak mampu meneruskannya lagi. Namun begitu, selepas bercerai saya dan bekas suami sepakat dalam soal penjagaan dan pendidikan anak-anak,” katanya.
Empat orang anak Mariam kesemuanya boleh dikatakan berjaya dalam kerjaya sekarang termasuk menjadi ahli perniagaan.
“Zuriat yang kita peroleh sebenarnya amanah daripada Allah, begitu juga dengan diri kita sendiri.
“Sementara ada kesempatan kita mesti menjaga dan mendidik mereka secukupnya agar seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya.
Tidak lama selepas bergelar ibu tunggal, Mariam menubuhkan Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur.
“Setakat ini, kami memperoleh 200 orang ahli yang rapat antara satu sama lain,” cerita Mariam.
Kebiasaannya, ahli persatuan ini akan berkumpul di Dewan Flat Pusat Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Danau Kota, Kuala Lumpur untuk aktiviti bersama.
“Kami sering menganjurkan ceramah undang-undang dan perniagaan, kelas memasak dan ceramah motivasi.
“Sebenarnya, nasib ibu tunggal di negara ini telah banyak berubah hasil keprihatinan kerajaan. Malah, ramai yang berjaya termasuk menjadi tukang urut, pembuat kek, peniaga kedai runcit dan bergelar usahawan,” ujarnya.
Tegas Mariam, dia tidak ingin ibu tunggal sekadar merayu-rayu bantuan.
“Mereka perlu berusaha sebaik mungkin tanpa perlu meraih simpati orang lain bagi mendapatkan pertolongan,” katanya.
Mariam tidak menolak ada dalam kalangan ibu tunggal yang menjadi mangsa perlakuan ganas bekas suami.
“Ada yang disimbah asid di muka kerana meminta cerai. Kemudian, proses mahkamah pula mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
“Tetapi sekiranya terdapat campur tangan pihak media dan orang politik, masalah mereka lebih cepat selesai,” ujarnya.
sumber- Kosmo
0 comments:
Post a Comment