Wednesday, August 8, 2012

Televisyen Syria siar imej Bashar

STESEN televisyen Syria menunjukkan Bashar menemui Saeed di Damsyik semalam.
STESEN televisyen Syria menunjukkan Bashar menemui Saeed di Damsyik semalam.
DAMSYIK - Presiden Bashar Al-Assad muncul di televisyen Syria buat kali pertama dalam tempoh lebih dua minggu semalam apabila beliau melayan kunjungan utusan dari Iran ketika tenteranya menggempur pemberontak di bandar Aleppo.

Dalam imej itu, Saeed Jalili yang merupakan penasihat kanan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menemui Bashar selepas beliau tiba dari Lebanon, sehari selepas Perdana Menteri, Riad Hijab berpaling tadah memihak kepada pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).

"Bashar dan Saeed membincangkan hubungan dua hala antara Syria dan Iran selain situasi di rantau berkenaan," lapor stesen televisyen Syria.

Kali terakhir rakaman Bashar disiarkan adalah ketika beliau menerima kunjungan ketua tentera yang baharu, Jeneral Ali Ayyub pada 22 Julai lalu, empat hari selepas serangan bom meragut empat nyawa ketua kanan keselamatan negara berkenaan.

Media Iran memetik Saeed sebagai memberitahu Teheran percaya satu dialog kebangsaan antara semua pihak terbabit merupakan jalan penyelesaian kepada krisis di Syria dan bukannya campur tangan asing.

"Kami berharap dapat mengambil langkah efektif berhubung hala tuju baharu ini," kata Saeed.

Di Beirut kelmarin, beliau mengeluarkan amaran kepada negara-negara yang menyokong pemberontak.

"Mereka yang percaya bahawa dengan mencetuskan kekacauan di negara-negara rantau ini menerusi penghantaran senjata dan mendalangi keganasan, mereka dapat menjamin keselamatan tetapi mereka sebenarnya silap," katanya kepada Menteri Luar Lebanon Adnan Mansour.

Di Aleppo, pertempuran antara tentera dan pemberontak menggegarkan beberapa kawasan di pusat bandar raya berkenaan awal semalam.

Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam pertempuran di Aleppo dengan angka kematian di seluruh Syria setakat semalam berjumlah 57 orang. 

sumber- AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...