Thursday, September 27, 2012

2 maut, Toyota Vios rempuh lori

Toyota Vios
Bahagian belakang kereta mangsa remuk selepas merempuh belakang lori.
JITRA - Hasrat dua sahabat untuk menghadiri majlis sempena kejayaan sebuah syarikat perbankan yang bakal disambut di Hatyai, Thailand, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di kilometer 21.8 Lebuhraya Utara Selatan dari Jitra-Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa, Khaw Chun Seong, 21, dari Simpang Empat dan rakannya, Lye Guang Shyong, 25, dari Bukit Mertajam, yang menaiki kereta Toyota Vios dipercayai terbabas lalu merempuh sebuah lori Syarikat Propel Berhad (Propel) yang berada dibahu jalan bagi menjalankan kerja membaik pulih penghadang jalan.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta yang dipandu berpusing beberpa kali sebelum merempuh belakang lori tersebut sehingga menyebabkan kedua mereka tersepit.

Difahamkan, pekerja yang terlibat dalam kerja membaik pulih penghadang jalan akibat kemalangan malam kelmarin, lari bertempiaran apabila kereta yang dipandu mangsa menuju laju ke arah mereka.

keluarga mangsa kemalangan
Bapa mangsa (kiri), Khaw Siak Chuan, 52, kelihatan sedih ketika menunggu di bilik mayat.

Dengar bunyi seperti bom

Saksi kejadian, Kee Kim Ngaung, 60, berkata, ketika kejadian hujan agak lebat dan dia duduk di tepi tingkap sambil memandang kawasan lebuh raya itu seperti biasa.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Sungai Baru hanya 100 meter dari tempat kejadian, sempat melihat kereta mangsa berpusing-pusing sebelum merempuh lori yang berada dibahu jalan berkenaan.

“Kedengaran bunyi dentuman seakan-akan bom ketika rempuhan itu berlaku. Saya bergegas ke sana dan mendapati kedua mangsa sudah tidak bernyawa lagi.

“Saya segera melihat segala dokumen mangsa yang bertaburan untuk mengenal pasti identiti mereka, saya kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa yang kebetulan saya mengenali ayahnya,” katanya.

Katanya, untuk bulan ini sahaja dia sudah menyaksikan tiga kemalangan berlaku  di tempat sama, yang melibatkan kematian dan cedera ringan.

“Setiap kali hujan lebat mesti berlaku kemalangan. Sejak saya menetap di sini sudah beberapa kali saya menyaksikan sendiri kejadian yang meragut nyawa,” katanya.

Jalan licin akibat hujan lebat

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusuf, berkata, seorang petugas Propel yang kebetulan ditugaskan untuk menyelenggarakan di kawasan itu ternampak kereta yang dipandu mangsa menuju laju dan kemudiannya terbabas sehingga berpusing beberapa kali sebelum merempuh lori terbabit.

Menurutnya, kemungkinan keadaan jalan agak licin berikutan hujan lebat menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal kenderaan sehingga berpusing dan merempuh bahagian belakang lori tersebut.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke Hatyai sempena menyambut kejayaan sebuah syarikat perbankan bersama rakan lain yang berjaya memberi keuntungan kepada syarikat berkenaan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...