Thursday, September 27, 2012

Maut kereta terhumban ke dalam cerun di Kulaijaya

kemalangan ngeri Proton BLM
Keadaan kereta yang dipandu mangsa.
KULAIJAYA – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terhumban ke dalam cerun kira-kira empat meter sebelum ditemui orang ramai di Kilometer 2, Kulaijaya-Kota Tinggi, di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Mangsa, Muhammad Fadzil Bakri, 27, yang memandu seorang diri menaiki Proton BLM sedang menghala ke Kota Tinggi apabila tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh lantas merempuh dua pokok di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya yang mengesahkan kejadian berkata, rempuhan kuat berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan sisi kereta remuk sehingga mangsa tersepit hampir dua jam di bahagian pemandu.

“Ketika ditemui, mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan tersepit sehingga pihak polis terpaksa memanggil Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu mengeluarkan mayat sebelum dihantar ke hospital Kulaijaya.

“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku antara jam lima hingga enam pagi berikutan keadaan enjin kereta yang sudah sejuk,” katanya.

Zulkefly berkata, faktor jalan yang lengang di lokasi kejadian menyebabkan kemalangan itu hanya disedari pengguna jalan raya lain pada jam 7 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut hanya membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu mangsa dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar.

Dalam pada itu, Zulkefly turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi had laju ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat mangsa juga sudah dituntut keluarganya di unit Forensik Hospital Kulaijaya untuk urusan pengebumian petang semalam.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...