Thursday, September 27, 2012

Proton Iswara rempuh bank

Proton Iswara
Kereta yang terbabas dan merempuh sebuah bank di Jalan Datuk Bandar Tunggal, semalam.
SEREMBAN – Seorang wanita gagal mengawal kenderaannya akibat dihimpit sebuah kereta lain, lalu terbabas sebelum merempuh sebuah bank di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Yeo Wei Neng, 18, yang memandu kereta Proton Iswara sendirian hanya mengalami kecederaan ringan di anggota badan.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dalam perjalanan ke Temiang itu dihimpit sebuah kereta Mitsubishi ASX yang dipandu seorang lelaki, Lim Hock Lea, 41.

“Ketika mangsa yang berada di kawasan lampu isyarat mahu meneruskan perjalanan ke arah Temiang, tiba-tiba datang sebuah kereta yang mahu masuk simpang kanan jalan menghimpit keretanya.

“Ia menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel dan kereta yang dipandu wanita berkenaan  terbabas lalu merempuh pintu sebuah bank,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, rempuhan kuat berkenaan menyebabkan dinding bank pecah dan bahagian hadapan kereta remuk.

“Ketika rempuhan berlaku, bank tersebut masih belum memulakan operasi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...