Sunday, October 14, 2012

Bomba bakar rumah kosong dibelasah

gambar lelaki dibelasah
Pemuda yang dilihat membakar rumah kosong diserahkan kepada polis selepas dibelasah sekumpulan penduduk.
GEORGETOWN - Tindakan seorang anggota bomba sukarela yang cuba membakar rumah kosong mengundang padah apabila dia dibelasah sekumpulan penduduk di Jalan Tengku di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemuda berusia 21 tahun itu dikatakan mencurahkan minyak tanah di dua rumah yang tidak berpenghuni di kampung terbabit sebelum membakarnya.

Namun perbuatannya yang mahu ‘mencipta’ kebakaran itu dilihat beberapa penduduk.

Menurut sumber, tindakan lelaki itu menyebabkan sebuah rumah berpenghuni terbakar dan ini menimbulkan kemarahan penduduk sebelum mereka menangkap suspek yang ketika itu cuba melarikan diri.

“Berang dengan tindakan lelaki berkenaan, sekumpulan penduduk kampung mengejar dan menangkapnya sebelum membelasah suspek.

“Akibat kejadian itu, lelaki berkenaan mengalami pendarahan hidung dan bengkak bibir apabila dibelasah kira-kira 20 penduduk sebelum menyerahnya kepada polis,” katanya.

Difahamkan, lelaki berkenaan adalah bekas penduduk kawasan berkenaan namun sudah berpindah sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yamin Tekor berkata, empat jentera dengan kekuatan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal dalam tempoh lima minit dan kebakaran itu memusnahkan dua rumah kosong serta sebuah rumah yang didiami namun pemiliknya tiada di rumah ketika kejadian.

“Setakat ini, kita masih menyiasat lanjut untuk mengesan punca kebakaran dan juga jumlah kerugian dan kita serahkan kepada polis berhubung perbuatan seorang lelaki yang dikatakan cuba membakar dua rumah kosong terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Setakat ini, kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebakaran dengan niat untuk melakukan kerosakan,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...