Sunday, October 14, 2012

Dua maut dalam dua jam

Honda CRV
Keadaan kenderaan dipandu Gobi yang melanggar pokok di tepi jalan dalam kejadian kemalangan awal pagi, semalam.
IPOH - Hanya dalam tempoh dua jam, nyawa dua lelaki yang memandu berseorangan melayang setelah terlibat dalam kemalangan maut berasingan di lokasi berbeza, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharudddin Wan Omar memaklumkan, kejadian pertama berlaku pada lebih kurang jam 11.30 malam kelmarin di Jalan Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, mangsa, Khairul Amilin Abd Rashid, 28 maut di tempat kejadian selepas dipercayai memandu laju sehingga menyebabkan kenderaan yang dinaikinya terbabas lalu melanggar tiang papan tanda arah di pembahagi jalan.

"Impak pelanggaran yang kuat mengakibatkan kereta jenis Proton Preve yang dipandu mangsa melekat pada tiang papan tanda berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau menambah, mangsa yang bekerja di sebuah premis makanan segera di Medan Gopeng, di sni, kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapat rawatan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 pagi tadi (semalam) ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan HRPB. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, mangsa dipercayai mati akibat kecederaan parah pada kepala serta badan dan jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga untuk dibawa ke Kluang, Johor bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, Wan Sharuddin memaklumkan kejadian kedua berlaku di Jalan Falim-Ipoh, di sini, melibatkan kehilangan nyawa P Gobi, 32, yang maut di tempat kejadian.

Beliau menjelaskan, mangsa dipercayai memandu laju sehingga menyebabkan kereta jenis Honda CRV yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Kemalangan berkenaan telah menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selama hampir setengah jam sebelum dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri.

"Mangsa berasal dari Desa Permata, Chemor maut serta merta dalam kejadian berkenaan dan mayatnya di bawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga," katanya.

Polis kini masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kedua-dua kemalangan berkenaan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...