Tuesday, October 9, 2012

Ditemui mati tergantung

Ditemui mati tergantung
Anggota polis sedang menguruskan mayat seorang remaja dijumpai mati tergantung, pagi semalam.
GUA MUSANG - Seorang remaja lelaki berperangai pelik apabila pergi ke rumah rakannya dan mengamuk serta menghalau mereka keluar sebelum ditemui mati tergantung di belakang rumah kongsinya di Kampung Kundur, dekat sini, pagi semalam.

Mayat remaja berusia 16 tahun itu ditemui rakannya tergantung dengan leher terjerut dawai diikat pada sebatang besi tangki air kira-kira jam 8.30 pagi ketika hendak mencuci tangan sebelum sarapan pagi.

Remaja berkenaan yang berasal dari Kuala Krai itu juga dikatakan bertukar menjadi pendiam dan tidak bercakap bukan sahaja dengan dua abangnya, tetapi rakan lain yang bekerja sekali sebagai buruh mesin rumput.

Walaupun dua abangnya itu tinggal serumah, namun remaja itu tidak mempedulikan nasihat mereka dan tetap keluar rumah dalam keadaan fikiran tertekan tanpa diketahui sebabnya.

Menurut rakan mangsa, dia tidak sangka kelakuan remaja itu tiba-tiba bertukar pelik hingga sanggup menghalaunya keluar dari rumah tanpa memberitahu tujuannya.

Katanya, remaja itu berulang kali menghalaunya keluar dan cuba berkurung dalam rumahnya kira-kira jam 9 malam kelmarin hingga dia sendiri rasa takut, tetapi tetap berkeras tidak membenarkan remaja itu berada dalam rumahnya.

“Sebaik saya tidak membenarnya berbuat demikian, dia terus berjalan keluar dan berehat di padang bola kampung tersebut hingga saya bersama rakan dan dua abang dia tidak sanggup mengawal perangainya sebelum pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Rakan remaja itu berkata, dia tidak tahu apa sebabnya  dia mengalami tekanan fikiran dan cuba memujuknya supaya bertenang serta terangkan apa masalah sebenar, tetapi dia enggan bercakap.

Seorang lagi rakannya berusia 20 tahun pula berkata, beliau menemui mayat mangsa tergantung di besi tangki air belakang rumah kongsi itu kira-kira jam 8.30 pagi ketika hendak membasuh tangan sebelum sarapan pagi.

Katanya, dia yang bangun lebih awal untuk bersarapan pagi selepas majikannya membeli nasi bungkus manakala dua abang remaja itu dan beberapa rakan yang lain sedang berkemas dalam bilik rumah.

“Pada mulanya saya bercadang untuk basuh tangan dalam rumah kongsi, tetapi secara kebetulan telah berada di luar terus berjalan ke paip dekat tangki itu sebelum ternampak mayatnya tergantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Sauful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berhubung penemuan mayat remaja lelaki itu dan mayat tersebut dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...