Tuesday, October 9, 2012

Sempat cium ibu sebelum tinggalkan rumah

Proton Iswara Aeroback tembung Honda EX5
Rosiah (duduk, tengah) tidak dapat menahan sebak melihat mayat anaknya atas jalan raya. Gambar kecil: Nurul Nabilah
MASJID TANAH - Seorang penuntut Kolej Komuniti Masjid Tanah, di sini sempat mencium ibunya dan bergegas keluar rumah sebelum dia maut terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Durian Daut, dekat sini, semalam.

Nurul Nabilah Daud, 18, dari Kampung Lendu, dekat sini, maut selepas motosikal jenis Honda EX5 yang ditungganginya terbabas, lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback.

Mangsa dalam perjalanan menuju ke kolej di pekan Masjid Tanah.

Ibu mangsa, Rosiah Sulong, 59, berkata, sebelum kejadian, anak bongsunya itu sempat mencium pipinya dan tergesa-gesa meninggalkan rumah untuk ke kolej kerana bimbang terlambat.

Dia yang ditemui di lokasi bagaimanapun tidak bercakap banyak kerana masih bersedih dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Zaini Sidek, 42, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan sekerjanya, Omar Md Dom, 52, dalam perjalanan ke tempat kerja di Durian Daun, tidak jauh dari tempat kejadian.

“Belum sempat saya melepasi selekoh, datang motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan yang sudah terjatuh atas jalan raya serta terseret. Saya tidak sempat mengelak dan terus merempuhnya.

"Saya hanya sempat memaut stereng ke kiri bagi mengelak dari terus bertembung, namun gagal kerana motosikal mangsa semakin hampir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, motosikal mangsa merempuh bucu sebelah kanan keretanya mengakibatkan mangsa terbaring tidak sedarkan diri, manakala motosikalnya tercampak.

“Saya segera berhentikan kereta di tepi jalan dan berlari menuju ke arah mangsa yang terbaring," katanya.

Rakannya, Omar berkata, dia tergamam dan mendekati serta memanggil mangsa, tetapi tiada tindak balas.

"Saya tidak berani sentuh sebelum penduduk mula mengerumuni tempat kejadian dan bantu hubungi bantuan kecemasan," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.

"Ia dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987.

Rosiah Sulong tidak dapat menahan sebak melihat mayat anaknya di atas jalan raya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...