Saturday, October 6, 2012

TV Internet haram dibongkar

TV Internet haram
Lima suspek yang ditahan dalam serbuan di premis menyediakan perkhidmatan saluran haram di Butterworth semalam diiringi anggota polis untuk mendapat perintah tahanan reman
BUTTERWORTH - Polis menahan 12 orang termasuk seorang guru sekaligus berjaya membongkar sindiket menjalankan aktiviti menjual saluran televisyen Internet berbayar tanpa lesen dalam lima serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis semalam.

Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf berkata sembilan lelaki dan tiga wanita berusia 28 hingga 40 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Siber Sekuriti.

“Hasil pemantauan dan risikan bersama SKMM dan Siber Sekuriti sejak sebulan lepas, kita mendapat maklumat ada sebuah sindiket yang menjalankan aktiviti menjual saluran televisyen Internet berbayar tanpa lesen.

“Bertindak atas maklumat, kita serbu sebuah premis di Padang  Besar, Perlis dan menahan dua lelaki bersama beberapa barangan yang digunakan sindiket terbabit dalam aktiviti berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Di Pulau Pinang, kegiatan menyediakan perkhidmatan aplikasi kandungan secara haram itu ditumpas selepas serbuan dijalankan di sebuah premis kondominium di Jalan Chain Fery di sini, jam 11 malam, kelmarin.

Premis di tingkat enam itu dipercayai telah beroperasi lebih setahun lalu dengan menyediakan lebih lima saluran haram untuk pelanggan melalui saluran MY IPTV yang dilanggan secara bulanan.

Mohd Rodwan berkata, pemeriksaan kemudiannya mendapati premis itu dijadikan sebagai pusat menyediakan pelbagai filem termasuk filem lucah dari luar negara untuk kegunaan lebih 2,000 pelanggan dengan mengenakan bayaran langganan sebanyak RM29 sebulan.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati premis ini dipenuhi dengan pelbagai peralatan elektrik dan alatan komunikasi canggih bernilai lebih RM400,000 merangkumi pot streaming, pelayan, komputer, dekoder dan kamera digital,” katanya.

Menurutnya, premis itu dipercayai menjadi hab utama pengedaran pelbagai filem untuk pelanggan melalui penetapan RM400 sebagai deposit sebelum mereka dikenakan bayaran bulanan untuk menonton pelbagai filem dari luar negara.

“Berdasarkan penemuan peralatan canggih kita yakin sindiket ini berjaya mengaut pendapatan jutaan ringgit sebulan kerana ianya mempunyai rangkaian pelanggan di seluruh negara.

“Selepas menjalankan siasatan lanjut pihak kita membebaskan tujuh pekerja dan menahan reman tiga lelaki dan dua wanita selama empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 205, Akta Komunikasi Multimedia kerana menyediakan perkhidmatan Larangan Terhadap Pemberian Perkhidmatan Aplikasi Kandungan,” katanya.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sebanyak RM500,000 atau penjara selama lima tahun.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...