Saturday, November 10, 2012

Cari ayam, tapi jumpa mayat

KUBANG SEPAT – Bilal Masjid Serdang tidak menyangka kokokan ayam selepas bertelur, membawa kepada penemuan mayat reput, jam 12.30 tengah hari semalam.

Bilal, Che Hassan Che Mamat berkata, jirannya, Su Minah cuba mencari ayamnya di bawah rumah mangsa, namun ternampak titisan air dari lantai dan dipenuhi lalat.

mayat diusung
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Pasir Mas bersama kakitangan bilik Mayat Hospital daerah, mengusung mayatnya untuk bedah siasat.
Tidak berani untuk menerjah masuk ke rumah itu katanya, Su Minah memanggilnya dan beberapa penduduk lain untuk menyiasat.

“Ternyata telahan kami benar, apabila menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang, tanpa seurat benang,” katanya semalam.

Beliau berkata, pemilik rumah sewa ini ada cuba menghubunginya 3 November lalu, tetapi panggilan tidak dijawab.

Menurutnya, dia tidak menyangka bau busuk sejak seminggu lalu, merupakan bau mayat reput kerana penduduk beranggapan ia adalah bau najis dari reban ayam di sebelah rumah mangsa.

Che Hassan berkata, penduduk tidak mengenali mangsa dengan lebih dekat, kerana baru menyewa di rumah ini sejak enam bulan lalu.

“Kita hanya tahu dia seorang bapa tunggal, berasal dari Machang dan mempunyai dua anak yang kini menetap di Kuala Lumpur.

“Kami tidak mempunyai sebarang nombor untuk menghubungi keluarga mangsa dan masih mencari waris terdekatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Ahmad Shihabuddin Abdul Ghani, 48, ditemui penduduk kampung di dalam rumahnya seorang diri.

“Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah terlibat dan kita mengklasifikasikan mangsa mati mengejut,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...