Saturday, November 10, 2012

Suspek kes rompakan bank di Sungai Buloh mati

KUALA LUMPUR - Polis hari ini menembak mati seorang suspek kes rompak sebuah bank yang kerugian RM202,800 pada 5 Nov lepas, dalam kejadian di Kampung Chubadak, Jalan Datuk Senu 3 di sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata seorang lagi rakan suspek yang turut berada di dalam kereta jenis Toyota Vios, melarikan diri dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi ini.

mayat penjenayah yang berjaya ditembak
Anggota Polis mengeluarkan mayat penjenayah yang berjaya ditembak dari kenderaannya dalam satu kejadian tembakan yang berlaku di Kampung Chubadak, hari ini.-Foto Bernama
Beliau berkata kejadian berlaku apabila pasukan khas polis yang dibentuk untuk menyiasat kes itu mengesan kereta sebuah BMW putih di Greenwood, Gombak, yang digunakan dalam rompakan bank di Sungai Buloh itu.

"Menyedari diekori, pemandu BMW memecut laju kereta itu dan berhenti di Plaza Tol Gombak sebelum menaiki kereta Toyota Vios yang menunggu di situ. 

"Polis menghampiri kereta berkenaan sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan selaras pump gun seolah-olah mahu melepaskan tembakan ke arah polis," kata Mohd Adnan kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Adnan berkata bagi mempertahankan diri, polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek sebelum kenderaan itu memecut laju melarikan diri.

"Suspek dan polis berbalas tembakan ketika kereta itu dikejar sejauh 15km. Dalam keadaan kelam kabut itu, kereta Vios tersebut terbabas sebelum merempuh tembok sebuah madrasah di lokasi kejadian," katanya.

Mohd Adnan berkata seorang suspek melarikan diri manakala pemandu kereta berusia 33 tahun berasal dari Kelantan, mati ditembak. 

Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemui selaras pump gun yang dirampas daripada pengawal keselamatan bank serta sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu. 

"Siasatan lanjut juga mendapati kereta BMW yang ditinggalkan di Plaza Tol Gombak dilaporkan disamun di Setapak manakala kereta Vios itu disamun di Sri Damansara awal bulan ini," katanya. 

Mohd Adnan berkata suspek yang mati ditembak memiliki enam rekod jenayah lampau, antaranya dua kes samun dan satu curi kereta. 

Dalam kejadian pukul 2.40 petang 5 Nov lepas, tiga lelaki memakai topi besbol bersenjatakan dua pucuk pistol menjadikan pelanggan dan pengawal keselamatan bank berkenaan sebagai tebusan sebelum melarikan  wang tunai RM202,800 dalam kejadian yang hanya mengambil masa lima minit.  

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...