Thursday, November 8, 2012

Khasiat Pokok Tasbih

pokok tasbih

Pokok Tasbih turut dikenali sebagai Pokok Jelai. Tumbuhan dari famili rumput ini mempunyai batang yang tegak serta mempunyai buah keras berupa manik dan berlubang di tengahnya. Kanak-kanak di kampung bermain buah ini dengan menjadikannya sebagai tasbih. Satu kepercayaan masyarakat Melayu mengatakan kucing yang dipakaikan dengan rantai buah tasbih ini akan menjadi kurus serta tidak sihat. Namun, sejauh manakah kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Tumbuhan berumpun ini mampu mencapai ketinggian sehingga 3 meter. Buahnya berkilau seperti porselin, tebal dan keras. Ia berwarna hijau cerah semasa muda dan berubah menjadi kuning langsat apabila masak. Ianya akan menjadi hitam apabila sudah terlalu tua. Daunnya berbentuk seperti daun jagung tetapi lebih pendek dan berketak-ketak. Upih daunnya rapat memenuhi batang. Tumbuhan ini hidup subur di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang cukup. Jelai membiak melalui pecahan rumpun, sama seperti kebanyakan tumbuhan lain daripada famili rumput.

KEGUNAAN

Masyarakat kampung menggunakan ia sebagai herba bagi mengubati sakit kepala dan migrin. 

  • Caranya, keseluruhan pokok dibersihkan sebelum dicincang dan direndam dalam air panas. 
  • Pesakit dimandikan dengan air rendaman ini selepas suam.

Akarnya mampu mengubati demam kuning dengan cara:

  • Rebus 15 gram akarnya sehingga air rebusan tinggal setengah. 
  • Kemudian, air ini ditapis dan diminum 2 kali sehari. 
  • Di samping itu, pesakit perlu minum banyak air masak semasa mengamalkan tonik ini.

Bagi merawat batu karang pula:

  • 5 gram daunnya dijadikan teh dan diminum serta diamalkan hingga masalah batu karang hilang. 
  • Tambahkan daun hingga 10 gram bagi mengubati jangkitan pundi kencing dan kencing kotor.

Bagi merawat Reumatoid: 

  • 30 gram buah yang tua direbus hingga airnya tinggal suku, tapis dan minum airnya semasa sakit. 
  • Pastikan air rebusan adalah rebusan yang baru dan bukannya yang disimpan dalam peti sejuk. 
  • Air rebusan buahnya yang diminum juga dapat menghaluskan kulit . 

Ia juga boleh menjadi penawar appendiks dan cirit-birit. Dalam perubatan tradisional Cina, Jelai adalah tumbuhan yang menyejukkan dan berfungsi bagi merehatkan otot, antitumor, penahan sakit, menurunkan kandungan gula dalam darah dan merawat demam. Ia juga dijadikan ubat bagi merawat masalah cacing. Selain itu, masyarakat Cina juga menggunakan isi bijinya dalam masakan sama seperti penggunaan barli iaitu dijadikan bubur dan sup.

Penggunaan herba ini perlu dielakkan semasa hamil.

sumber- wannura

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...