HANGUS...Rosnizam melihat basikal yang turut hangus dalam kebakaran rumah dua tingkat malam kelmarin. |
KUALA NERANG: Impian tiga beranak membina rumah baru menggunakan wang simpanan berjumlah RM60,000 yang disorok di beberapa tempat dalam rumah mereka berkecai apabila kediaman berkenaan di Kampung Janing, di sini, musnah dalam kebakaran tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, rumah dua tingkat berkenaan musnah dijilat api yang dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas di bahagian atas rumah.
Kebakaran itu turut mencederakan penghuni rumah, Razak Abdul, 66, yang melecur badannya tetapi tidak serius dan kini dirawat di Hospital Kuala Nerang (HKN) manakala isterinya, Zaharah Hassan, 40-an dan anak lelaki mereka, Rosnizam Razak, 34, tidak cedera.
Rosnizam berkata, kejadian berlaku pantas menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan wang tunai yang mahu digunakan untuk membina rumah baru.
“Kami tidak sempat menyelamatkan wang yang disimpan di merata tempat seperti dalam almari, bawah katil dan dalam bantal kerana ketika itu saya hanya memikirkan keselamatan ibu dan bapa.
“Ayah sudah lama berhasrat membina rumah lain berikutan lokasi rumah sedia ada sering dilanda banjir. Tambahan pula, rumah sedia ada ini sudah agak uzur kerana sudah berusia 40 tahun.
“Kami bercadang mengupah kontraktor dalam sehari dua ini untuk membina rumah baru lain,” katanya.
Menurut Rosnizam, dia berada di dapur manakala bapa serta ibunya sedang menonton televisyen apabila mereka dikejutkan dengan bau hangit dari tingkat atas.
Dia bergegas ke tingkat atas dan mendapati sebuah bilik sedang terbakar lalu memberitahu bapanya mengenai kebakaran itu, tetapi tidak sempat berbuat apa-apa.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Abdul Manaff Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
Katanya, anggotanya mengambil masa hampir sejam untuk mengawal kebakaran kerana api sudah terlalu marak dan pihaknya percaya kejadian itu berpunca daripada litar pintas.
Menurutnya, kelewatan pasukannya tiba di lokasi kejadian berikutan mereka baru selesai memadamkan kebakaran di kawasan Padang Terap sebelum bergegas ke rumah mangsa, sejurus menerima panggilan kecemasan.
sumber- HMetro
0 comments:
Post a Comment