Monday, July 16, 2012

Misi kelab Albino United

albino united
DI Tanzania, mereka yang dilahirkan sebagai albino dibunuh dan mayat mereka dikerat-kerat untuk dijadikan pemujaan sihir.

KETIKA matahari terbenam, sekumpulan lelaki albino berlari keterujaan ke arah satu kawasan berpasir di tepi jalan di Dar es Salaam, Tanzania. Dar es Salaam merupakan bandar raya terbesar di Tanzania.

Di kawasan itulah ahli-ahli kelab bola sepak, Albino United menjalani sesi latihan mereka. Namun, apa yang lebih penting, mereka ingin membuktikan bahawa golongan albino adalah kelompok manusia biasa yang hanya kurang dari sudut pigmentasi.

"Pasukan bola sepak ini telah berjaya membuatkan individu istimewa ini lebih gembira dan bersatu. Bukan saja golongan pemain bahkan, individu albino di luar Dar es Salaam. Keadaan sebelum ini bagaimanapun tidak memungkinkan ini berlaku," kata Severin Edward, pengurus program bagi pasukan tersebut.


Walaupun Dar es Salaam tidak berdepan dengan ancaman kes-kes pembunuhan, Albino United yang berpangkalan di kota tepi laut itu berharap dapat mencegah peningkatan trend tersebut di serata negara itu. Sebahagian besar kes pembunuhan dilaporkan berlaku di sekitar utara wilayah Mwanza.

Ditubuhkan pada tahun 2008, Albino United pada asalnya dikenali sebagai Albino Magic. Nama kelab tersebut diubah apabila pengasas-pengasasnya berhati-hati agar nama tersebut tidak dikaitkan dengan pembunuhan berunsurkan ilmu sihir.

Cita-cita kelab tersebut mahu mengubah golongan albino yang dilihat seakan-akan banduan yang terpaksa bergantung kepada bajet yang terhad. Tempat kelahiran mereka merupakan sebuah padang yang berhabuk. Gol-gol mereka diperbuat daripada cabang-cabang pokok dan tali. Malah, kebanyakan pemain tidak memiliki kasut but untuk sukan bola sepak.

Bermain secara profesional

Namun, itu bukan penghalang seorang pemain sayap untuk salah satu jabatan, Said Seremani, 17, yang juga albino daripada menaruh impian untuk bermain bola sepak secara profesional di Eropah.

"Saya percaya saya boleh berjaya menerusi sokongan kelab ini kerana mereka menjaga saya dengan baik," kata Seremani yang merujuk kepada sumbangan berterusan yang diterima daripada kelab itu.

Walaupun terdedah kepada risiko tercedera, Seremani masih bermain tanpa kasut.

albino united
ALBINO United berjaya meletakkan golongan albino setara dengan individu normal.
"Saya telah mendapat banyak manfaat daripada kelab itu. Saya telah membayar yuran persekolahan dengan wang saku yang diterima dan berpeluang melancong ke wilayah-wilayah lain di negara ini yang belum pernah saya kunjungi," katanya.

Ibu Seremani yang bukan albino telah membesarkan anaknya sendirian selepas ditinggalkan oleh bapa Seremani. Namun, ibu Seremani tidak pernah terkejut apabila dikurniakan seorang bayi albino.

"Apabila saya melahirkannya, saya nampak dia anak albino. Saya langsung tidak berasa pelik atau rasa ada ada kekurangan pada anak saya.

"Saya gembira kerana dia meminati bola sepak dan telah mula bermain sejak awal usia. Biasanya, dia akan makan dengan tergesa-gesa supaya dapat bermain bola sepak," katanya.

Albinisme merupakan satu masalah genetik yang berlaku atas faktor keturunan. Mereka yang menghidap albinisme biasanya akan memiliki rambut, kulit dan mata yang kekurangan pigmentasi melanin. Melanin penting untuk melindungi kita daripada sinaran ultra ungu matahari yang berbahaya. Dalam kebanyakan kes, albinisme memberi kesan kepada penglihatan pesakitnya.

Pancaran matahari di kawasan pesisiran pantai Dar es Salaam, kemiskinan, penyakit dan kecederaan merupakan antara faktor yang menghalang para pemain albino untuk bergiat aktif dalam sesi-sesi latihan bola sepak.

Kadar sensitiviti mereka terhadap pancaran matahari menyebabkan latihan hanya boleh bermula sekitar pukul 5 petang apabila matahari mula terbenam dan angin dingin mula berhembus dari arah laut.

albino united
BOLA sepak berjaya mencegah jenayah di kalangan golongan albino di Tanzania.
Biarpun tanpa kes-kes pembunuhan di bahagian selatan Tanzania, golongan albino masih berdepan dengan masalah diskriminasi. Perkara itu telah diberi penekanan dalam kempen-kempen undian yang menentang seorang calon pembangkang, Salum Khalfani Bar'wani yang dipilih sebagai Ahli Parlimen albino pertama di Tanzania.

Meningkatkan keyakinan

Pesaing Salum Khalfani Bar'wani mendakwa dia tidak mampu berfikir secara waras memandangkan dia merupakan seorang albino. Namun, Ahli Parlimen tersebut menyifatkan kemenangannya itu sebagai satu perkembangan yang baik untuk golongan albino di Tanzania.

Seorang pemain Albino United, Fikiri Sultan berkata, kemenangan mereka telah mengejutkan kebanyakan orang dan memperkukuhkan tahap keyakinan golongan albino.

"Sejak menyertai kelab ini, mereka yang menghina kami selama ini tercabar apabila melihat kami melawan Ahli-Ahli Parlimen dan kelab-kelab bola sepak yang lain. Sekarang, saya percaya kami boleh melakukan apa sahaja," kata lelaki berusia 28 tahun yang bakal berehat seketika berikutan kecederaan pada buku lalinya.

Menurut sebuah badan bukan kerajaan, terdapat sekurang-kurangnya 58 orang albino yang telah dibunuh di Tanzania sejak tahun 2007. Sesetengah daripada bahagian tubuh penghidap albino dipercayai telah dieksport dari negara tersebut.

Pihak berkuasa di Afrika timur telah menggesa agar lebih banyak perlindungan diberikan kepada golongan albino. Malah, sejak tahun 2009, sekurang-kurangnya lima orang telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh golongan albino. Namun, tiada satu pun hukuman tersebut telah dijalankan.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...