Tuesday, August 28, 2012

Murid darjah empat curi motosikal

Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal
Polis (kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) berada di lokasi motosikal ditemui.
KULIM - Polis sedang memburu murid tahun empat dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Taman Tungku Putra kira-kira jam 12.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam pagar rumah remaja lelaki itu untuk mengambil motosikal.

“Dia yang menyedari kejadian itu bagaimanapun gagal menahan suspek kerana sukar membuka pintu gerigi rumahnya.

“Setelah berjaya membuka pintu, dia cuba mengejar suspek bagaimanapun gagal berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki terbabit kemudiannya berjumpa anggota trafik yang sedang menjalankan tugas rondaan dan meminta bantuan.

“Kira-kira jam 12.45 petang, kakitangan pos laju menemui motosikal curi itu disorok belakang pokok dalam taman permainan berhampiran sekolah agama.

“Daripada pemeriksaan nombor pendaftaran dibuat, polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang tengah malam, semalam.

“Suspek mungkin menunggang motosikal itu untuk pergi ke sekolah tetapi meletakkannya di taman permainan untuk mengelak daripada  diketahui orang lain,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini kes curi motosikal merupakan antara jenayah yang kerap berlaku di Kulim.

“Sebelum ini, polis menahan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Kuala Ketil kerana mencuri motosikal di surau.

“Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek di Taman Cengal ketika cuba melarikan motosikal itu ke Gurun untuk dijual,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...