SELAMBA...dua pengunjung lelaki minum di kolam memancing komersial. |
KUALA LUMPUR: Restoran makanan segera, kedai mamak dan kedai serbaneka 24 jam menjadi pilihan segelintir ‘kaki ponteng’ puasa di ibu kota mendapatkan juadah berbuka awal.
Tinjauan mendapati antara lokasi tumpuan kalangan kaki ponteng puasa terbabit menjamu selera mereka ialah di sebuah kolam memancing komersial di sini.
Seorang penduduk berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Razak, 40-an, mendakwa jumlah pengunjung kolam terbabit bertambah setiap kali Ramadan sejak ia beroperasi kira-kira tujuh tahun lalu.
Katanya, sepanjang tempoh itu, tiada operasi membanteras kegiatan ponteng puasa oleh pihak berkuasa terhadap kalangan kaki pancing termasuk orang awam sehingga ada melabelkan ia sebagai lokasi ‘selamat’.
“Setiap kali bulan puasa bilangan pengunjung kolam berkenaan bertambah khasnya pada waktu siang, tetapi sebahagian besar daripadanya tidak memancing sebaliknya duduk lepak menghisap rokok, minum dan ada lebih berani makan di bangku kolam di kawasan terbuka.
“Ia sesuatu yang menyedihkan kerana kolam berkenaan terletak berhampiran kawasan perumahan. Justeru, saya meminta pihak berkuasa memantau perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kaki ponteng puasa terbabit,” katanya.Sementara itu, wartawan yang menyamar pengunjung terkejut apabila mendapati majoriti pengunjung termasuk kaki pancing selamba menghisap rokok dan minum tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Menurut seorang kaki ponteng puasa, dia mendapat tahu lokasi itu selamat untuk makan dan minum di bulan puasa daripada seorang rakan. Pada mula memang takut-takut, tetapi selepas beberapa tahun, kolam ini menjadi lokasi dia dan rakan-rakan menjamu selera setiap kali bulan puasa.
“Abang jangan risau, tempat ini selamat. Abang hisap saja rokok, orang tak kisah kerana semua tak puasa,” katanya.
sumber- HMetro
0 comments:
Post a Comment