Bangkai biri-biri di hadapan sekolah agama, malam kelmarin. |
RANTAU PANJANG - Sebanyak 10 bangkai biri-biri bergelimpangan di bahu kiri dan kanan jalan di hadapan sekolah agama di sini, malam kelmarin, dipercayai dilanggar kenderaan berat.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam ketika hujan lebat dan keadaan di situ agak gelap.
Haiwan tersebut dipercayai dilanggar kenderaan berat berdasarkan jarak yang jauh antara satu sama lain.
Perkara ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat memandangkan kemalangan disebabkan haiwan ternakan begitu kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.
Seorang penduduk dikenali Mat, 48, berkata, masalah ternakan berkeliaran di sekitar Rantau Panjang bukan lagi perkara baru.
Dia sendiri sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab supaya turun padang seterusnya menangkap haiwan tersebut.
Menurutnya pihak terbabit patut lebih kerap membuat operasi supaya pemilik lebih berhati-hati.
“Pemilik ternakan kebanyakan hanya membiarkan ternakan berkeliaran di merata tempat.
“’Keadaan ini membahayakan pengguna jalan,” katanya.
Mat berkata, pekan Rantau Panjang sendiri turut menjadi tumpuan ternakan sehingga mengganggu pengunjung membeli belah.
Menurutnya, keadaan ini cukup memalukan masyarakat setempat kerana pekan ini sentiasa dikunjungi pengunjung sama ada dari dalam atau luar Kelantan.
“Justeru, saya mengharapkan pihak berkuasa lebih kerap membuat operasi menangkap ternakan berkeliaran di atas jalan.
“Saya yakin jika operasi berterusan, pemilik tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan ternakan mereka,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment