Tuesday, September 11, 2012

Parah dihempap lori batu

lori untuk disewa
Keadaan motosikal yang remuk dan mangsa yang dihempap lori.
MERBOK - Seorang lelaki berusia 20-an cedera parah selepas dihempap lori yang membawa muatan batu kerikil dalam kejadian dekat simpang tiga Kampung Bujang berhadapan dengan pintu utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu dikatakan berlaku apabila lori terbabit dipercayai terbabas ketika melalui jalan yang berselekoh selain terkejut dengan kehadiran sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang muncul dari sebuah lorong di hadapan secara mengejut.

Saksi kejadian, Salmah Mansor, 57, berkata, dia ternampak lori berkenaan yang datang dari arah Merbok ke Semeling dalam keadaan terhuyung-hayang ketika melalui selekoh.

“Mungkin disebabkan terkejut dengan kehadiran kenderaan pacuan empat roda dari lorong yang agak tersembunyi, pemandu lori terus mengelak sebelum terbabas.

“Lori itu kemudian terbalik sebelum menghempap seorang pemuda sedang menunggang motosikal dari arah bertentangan,” katanya.

Katanya, melihatkan keadaan cemas dia cuba menjerit meminta pertolongan namun mujur apabila ramai pengguna jalan raya lain turut membantu mengeluarkan mangsa.

Keadaan motosikal mangsa remuk akibat dihempap lori terbabit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian muka dan kepala dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, polis juga telah merakamkan keterangan kedua-dua pemandu lori dan kenderaan pacuan empat roda dan mereka telah pun dibebaskan dengan jaminan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...