Quah Eng Lam |
GEORGETOWN - Seorang ahli veteran MCA maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori simen di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, pagi tadi.
Sumber polis berkata pada kejadian pukul 9.30 pagi itu, mendiang Quah Eng Lam, 66, yang juga Timbalan Ketua MCA Bahagian Bukit Bendera dalam perjalanan menghantar mekanik yang telah membaiki van miliknya pulang ke bengkel yang terletak di Gat Lebuh Presgrave.
"Sebelum kejadian mekanik itu menghantar van yang telah siap dibaiki ke pejabat Quah di Gat Jalan Perangin dan mendiang kemudiannya menawarkan diri untuk menghantarnya pulang dengan menaiki motosikal," katanya kepada pemberita, di sini.
Sumber itu berkata Quah maut di tempat kejadian sementara mekanik yang membonceng mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Anak lelaki mendiang, Lean Huat, 40, berkata bapanya menyertai MCA pada tahun 1970-an dan turut menyandang jawatan Pengerusi Persatuan Penduduk Padang Tembak.
"Beliau baru pulang dari percutian di Genting Highlands bersama ibu petang Isnin lepas," katanya.
Mayat Quah dijadual akan menjalani upacara pengebumian di Krematorium Batu Gantung, Sabtu ini.
sumber- Bernama
0 comments:
Post a Comment