Thursday, October 11, 2012

Muzium Tentera Darat serah cebisan tulang krew Tentera British

PORT DICKSON - Sebanyak 80 cebisan tulang milik lapan krew pesawat Tentera Udara Diraja British (RAF) yang terhempas lebih enam dekad lalu di kawasan Gunung Telapak Buruk, Langkap, Kuala Pilah dekat sini, diserahkan Muzium Tentera Darat kepada wakil Tentera British.

Upacara penyerahan tulang tersebut dilakukan Ketua Pengarah Rancang Pembangunan Markas Latihan Tentera Darat, Briged Jeneral Datuk Abu Musa Abd. Rahman dan diterima oleh Penasihat Pertahanan Tentera British Kapten Kenneth Taylor dalam majlis ringkas di sini.

Pengarah Muzium Tentera Darat Leftenan Kolonel Mohd Shukri Mohd Ghazali berkata, kesemua cebisan tulang tersebut yang 'terkubur' sejak 1945 berjaya dibawa keluar hasil misi evakuasi bersama antara Muzium Tentera Darat, wakil kerajaan British dan pakar forensik Universiti Sains Malaysia.

"Dengan penemuan seperti ini, kita dapat melihat sejarah itu dari aspek sebenar dan ini telah membuka sejarah baharu dari sudut ketenteraan di mana sebelum ini penyelidik barat tidak banyak melakukan kajian berkaitan ketenteraan di negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu, di sini hari ini.

Muzium Tentera Darat

Katanya, misi tersebut sebenarnya telah bermula pada 22 Dis 2006, namun akibat kekangan peralatan selain kesulitan bentuk muka bumi di kawasan hutan tersebut, menyebabkan ia dilakukan dalam empat fasa sebelum selesai pada 9 Ogos 2009.

"Tempoh agak lama diambil disebabkan tulang berkenaan perlu dianalisa pakar forensik Tentera Darat sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk analisa lanjut bagi pengesahan ia milik krew tentera RAF yang terkorban," katanya.

Pesawat pengebom RAF B24 Liberator KL654/R tersebut berlepas dari Cocos Islands, Autralia dipercayai sedang melakukan misi sulit di kawasan hutan Langkap, Kuala Pilah sebelum terhempas atas faktor yang tidak dapat dikenal pasti, pada 23 Ogos 1945 dan mengorbankan semua lapan krewnya.

Mereka yang terkorban adalah juruterbang, Leftenan Udara John Selwyn Watts; Pegawai Udara Edward Donald Mason; Pegawai Udara William Kenneth Dovey; Sarjan Udara Jack Blakey; Sarjan Udara Willian Ros; Sarjan Udara Raymond Towell; Pegawai Udara John Trevor Bromfield dan Sarjan Udara Arthur Turner.

Mohd Shukri berkata, kesemua tulang tersebut akan disemadikan dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel Cheras, Kuala Lumpur pada 18 Okt ini.

sumber- Bernama

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...