Thursday, October 11, 2012

Wanita warga emas ditembak jiran kerana disangka kera

gambar monyet
gambar hiasan
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas di Jalan Sekolah Kampung Batu Tiong, Dungun di sini ditembak jiranya Selasa lepas kerana menyangka wanita itu seekor kera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi, wanita berusia 60 tahun itu sedang berada di depan rumahnya terdengar bunyi tembakan dan terasa sakit pada dadanya.

"Tembakan dilepaskan jiran mangsa yang juga seorang pengawal keselamatan. Setelah mendengar mangsa mengerang kesakitan, suspek berusia 60 tahun itu bergegas ke rumah mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.

"Suspek marahkan sekumpulan kera yang selalu merosakkan tanamannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Manoharan berkata akibat tembakan, mangsa mengalami cedera di dada terkena peluru penabur daripada senapang patah milik pengawal keselamatan berkenaan.

Beliau berkata ketika mangsa mendapatkan rawatan pihak hospital mendapati ada dua kesan terkena tembakan dan terbakar pada bahagian dada mangsa tetapi tiada kesan peluru termasuk ke dalam.

"Melihat kesan itu doktor yang merawat mangsa membuat satu laporan polis kira-kira jam 11.50 pagi semalam dan mangsa masih dirawat di hospital.

"Sehubungan kejadian itu, pihak polis memanggil suspek untuk siasatan lanjut dan merampas sepucuk senapang patah yang digunakan suspek," katanya.

Manoharan berkata senjata api berkenaan milik sebuah syarikat keselamatan dan berlesen, yang sepatutnya digunakan untuk menjaga keselamatan diri dan harta ketika bertugas dan tidak boleh digunakan bagi tujuan persendirian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan cedera dengan senjata tanpa alasan yang sah dan di bawah Seksyen 8(b) akta yang sama kerana gagal mematuhi syarat, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 jika disabitkan kesalahan. 

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...