Saturday, July 21, 2012

Banduan terima enam tahun lagi penjara

MELAKA: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara empat tahun terpaksa menjalani tempoh hukuman lebih panjang apabila dihukum penjara enam tahun lagi oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mencuri, pecah rumah dan memiliki harta curi.

Tertuduh, Choo Soon Kooi, 38, dari Tengkera, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nor Azizah Yusof selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan berasingan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki harta rompakan iaitu sebuah komputer riba jenama Sony milik Li Gui Jun dan sebuah iPad 2 milik Yuan Li Jie di sebuah asrama pekerja, Jalan Melaka Raya 4, Taman Melaka Raya, pada jam 2.25 pagi, 10 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 412, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Choo didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 bernombor pendaftaran MBJ 1574 bernilai kira-kira RM1,500 milik K Harmohan Singh, 57.

Choo turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu memiliki harta curi sebuah televisyen LCD dan sebuah komputer riba bernilai RM1,000 milik Siti Baizurah Yaacob, 30.

Selain itu, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki harta curi iaitu empat unit komputer riba jenama Acer dan Lenovo, tiga buah telefon bimbit, sebuah kamera digital dan sebuah pemacu mudah alih milik Lim Siew Cheng, 46.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukannya di sebuah rumah di Jalan KJ 52, Taman Krubong Jaya, pada jam 9 pagi, 12 Februari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 411, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda.

Mengikut pertuduhan terakhir, Choo didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri televisyen Plasma bernilai RM9,000 milik Lok Fung Kiew, 29, di sebuah rumah di KJ 12, Taman Krubong Jaya, pada jam 3 pagi, 2 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau boleh dikenakan denda atau sebat bagi kesalahan dilakukan kali kedua.

sumber-HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...