Saturday, July 21, 2012

Pelajar jatuh longkang dikhuatiri lemas

AMPANG: Seorang remaja lelaki berusia lingkungan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam longkang besar di Taman Putra, Pandan Mewah, di sini, kira-kira 6.30 petang semalam.

Dalam insiden itu, seorang saksi dikatakan melihat remaja terbabit yang masih lengkap berpakaian sekolah cuba melangkah longkang besar di sebuah premis perniagaan sebelum dilihat terjatuh.

Berikutan itu, saksi terbabit memberitahu kepada seorang wanita yang berada berhampiran kawasan kejadian sebelum perempuan itu bertindak menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 6.44 petang.

“Satu jentera kemudian ke tempat kejadian bagi usaha mengesan dan menyelamat mangsa. Ketika kejadian hujan lebat dan air deras. Kita khuatir mangsa dihanyutkan air deras longkang ke sungai.

“Kita turut menerima bantuan satu jentera bomba dan penyelamat sukarela Taman Dagang dengan jumlah kekuatan keseluruhan 20 anggota. Selain itu, kita turut mendapat bantuan daripada BPP Jalan Jelatek dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi dijalankan di beberapa lokasi bermula tempat kejadian sehingga ke Sungai Besi, di mana tempat perangkap sampah dipasang bagi mengesan mangsa.

Mazlan berkata, operasi menyelamat dihentikan sehingga jam 12 tengah malam tadi dan disambung semula 8 pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sehingga 12 tengah malam, pihaknya masih belum menerima laporan kehilangan anak daripada ahli keluarga.

sumber-HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...