Monday, July 23, 2012

Kereta bertembung lori ayam

Kereta bertembung lori ayam
Keadaan di tempat kejadian.
MACHANG - Seorang wanita mautselepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan ayam di Kilometer 39.5, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, di sini, semalam.

Kemalangan jam 6.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Roos Amizan Ab Rahim, 35, yang memandu kereta Mercedes-Benz maut di tempat kejadian manakala suaminya, Mohd Asri Husain,43 dan seorang anak mereka, Nurafifi Fariza, 6, cedera parah.

Seorang lagi anak mangsa, Nurafifi Farahani Zuraidi, 18, pemandu dan kelindan lori cedera ringan dan semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bachok.

Katanya, Mohd Asri dan Nurafifi Fariza dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Semasa kejadian, kereta itu dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa maut kerana mengalami kecederaan parah di kepala. “Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Siasatan berkaitan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nordin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 6.26 pagi.

Katanya, mangsa maut tersepit di tempat duduk pemandu manakala mangsa lain berjaya dikeluarkan orang ramai.

“Kerja-kerja menyelamat pada kejadian berdekatan Kampung Banggol Petai itu melibatkan lima anggota bomba. Kemalangan itu menyebabkan kereta remuk teruk di bahagian hadapan terutamanya di bahagian pemandu manakala lori bermuatan ayam itu terbalik,” katanya

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...