Monday, July 23, 2012

Penyampai berita Mesir berpakaian niqab


Kaherah: Mesir melancarkan satu saluran berita satelit terbaru yang hanya menampilkan penyampai berita wanita menutup seluruh anggota badan menggunakan niqab.

Pelancarannya mewakili revolusi budaya negara itu yang lebih mementingkan nilai Islam selepas kebangkitan Arab atau ‘Arab Spring’. Semua kakitangan Maria TV yang memulakan siaran pertama mereka Jumaat lalu, menyampaikan berita dengan mengenakan purdah berwarna hitam dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Malah, pekerja lelaki juga dilarang terbabit dalam siaran berita itu walaupun hanya membuat panggilan telefon.

Semua kakitangan wanita termasuk pekerja di belakang tabir turut memakai purdah.

El-Sheikha Safaa Refai yang mengetuai Maria TV mendakwa, kemunculan saluran terbabit menunjukkan sejauh mana perkembangan negara itu selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Beliau berharap dengan memaparkan pakaian itu di televisyen, mereka boleh buktikan kepada semua bahawa wanita yang mengenakan niqab juga boleh berjaya.
Kebanyakan wanita Mesir sebelum ini terutama mereka yang mengenakan purdah mengadu sering menjadi mangsa diskriminasi sekiranya ingin mencari pekerjaan terutama dalam program televisyen dan juga pendidikan.

Mengenai pemakaian niqab ketika membaca berita, El-Sheikha Safaa Refai berkata: “Saya dimaklumkan ia tidak mungkin berjaya disebabkan muka saya tak kelihatan. Tetapi, nada suara saya boleh menjelaskan emosi dan reaksi saya.”

Dengan beroperasi di sebuah apartmen kecil di daerah Abassiya, saluran terbabit akan disiarkan enam jam sehari melalu saluran al-Ummah.

sumber-  Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...