Saturday, August 18, 2012

Cubaan seludup pistol gagal

Cubaan seludup pistol gagal
Zull Aznam (tengah) menunjukkan revolver yang dirampas pagi semalam.
KANGAR - Hasrat seorang penjual ikan membawa masuk sepucuk revolver buatan Brazil tidak kesampaian apabila dikesan polis di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pagi semalam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Zull Aznam Haron berkata, lelaki itu ditahan pada jam 8.12 pagi ketika menaiki kereta menghala masuk ke ICQS Padang Besar dari negara jiran.

Beliau berkata, pemeriksaan polis terhadap kenderaan terbabit menjumpai sepucuk Revolver dan enam butir peluru serta senjata buku lima. Wang lebih RM3,000 turut dirampas.

“Lelaki berusia 39 tahun itu berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang dan direman tujuh hari bermula semalam. Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kejadian serangan jenayah.

“Kita juga menjumpai perkakas menghisap dadah. Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Revolver itu diperoleh dari Thailand, namun tujuannya membawa masuk senjata itu ke Malaysia masih dalam siasatan,” katanya.

Zull Aznam berkata, kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi 14 tahun dan sekurang-kurang enam sebatan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...