MESIN MEMARUT KELAPA DAN MEMERAH SANTAN YANG DIHASILKAN unimap. |
Pembangunan mesin pintar atau automatik bukan lagi industri baru di
negara ini. Dengan perkembangan ini ia membantu industri kecil dan
sederhana (IKS) di negara ini melangkau ke tahap lebih tinggi.
Seterusnya mendorong kepada pembangunan teknologi industri kampung atau indigenous technology .
Pelbagai
pihak sama ada individu atau agensi kerajaan berlumba-lumba mencipta
mesin yang dapat membantu pengusaha industri luar bandar.
Satu
daripada mesin yang paling popular pada musim perayaan selain mesin
membuat kuih ialah memarut atau memerah santan secara automatik.
Terbaru,
sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMap) memulakan
penyelidikan pada tahun 2009 untuk membangunkan satu mesin dua dalam
satu untuk mengeluarkan santan kelapa.
Mesin yang dibangunkan
dengan menggunakan keluli tahan karat sebagai memenuhi syarat asas
mesin berkaitan makanan merupakan mesin separa automatik untuk memenuhi
keperluan pengusaha IKS.
Menurut ketua kumpulan penyelidik, Azmi Harun, mesin itu direka khas untuk memarut dan memerah isi kelapa secara berkesan.
Katanya, ia sangat berguna bagi mendapatkan santan secara maksimum dengan meningkatkan hasil dalam tempoh yang singkat.
''Konsep
mesin ialah gabungan memarut dan memerah santan dalam masa singkat
berbandng penggunaan mesin memarut dan memerah secara berasingan,''
katanya.
Mesin dua dalam satu sangat sesuai bagi pengusaha kerana
ia meningkatkan produktiviti pengeluaran santan dalam tempoh yang
singkat.
Ketika ini kata Azmi, kaedah konvensional membolehkan
pengguna menghasilkan santan menggunakan kaedah memarut dan memerah
secara berasingan.
''Kaedah ini memerlukan masa yang panjang jika ingin menghasilkan dalam kuantiti yang banyak," katanya.
Selain itu, kata beliau mereka perlu melakukan dua kerja dalam satu masa itu memarut dan kemudiannya memerah santan.
Sudah tentu ia membazir masa dan ada kemungkinan terdedah kepada kekotoran ketika pengendalian dilakukan.
Azmi
memberitahu, dengan menggunakan kombinasi kerja dua dalam satu
tentunya menjimatkan masa dan penghasilan lebih pantas dalam tempoh
sejam.
Ini dibuktikan dengan ujian dan analisis kerja dijalankan oleh mereka selepas pembangunan badan mesin itu disempurnakan.
Kajian
yang dijalankan oleh kumpulannya juga membabitkan perbandingan antara
kaedah konvensional yang ada di pasaran dan penggunaan mesin tersebut.
Hasilnya
didapati sebanyak 30 kilogram (kg) santan dapat dihasilkan dalam
tempoh sejam menggunakan mesin dua dalam satu itu berbanding antara 20
dan 25 kg pengguna kaedah konvensional pada tempoh masa yang sama.
Mesin yang direka menggunakan tali sawat (belt) yang dipasang kepada alat memarut dan skru memerah.
Hanya
satu motor elektrik digunakan yang membabitkan satu fasa motor
berkuasa 1.5 kuasa kuda dengan kelajuan 1,420 rpm serta penggunaan
voltan 240v, 7.3 ampere yang digunakan untuk memindahkan kuasa
menggerakkan tali sawat.
Mesin beroperasi menggunakan satu suis untuk bekalan kuasa kepada motor yang diletakkan di bawah mesin.
Kuasa dipindahkan dari motor elektrik kepada kedua-dua alat memarut dan memerah dengan tali sawat jenis V.
Dua
tali sawat digunakan iaitu satu daripada motor untuk memusingkan gear
yang bersambung dengan skru pemerah dan satu lagi tali sawat dari motor
kepada alat pemarut pada bahagian atas mesin.
Fungsi gear
berpusing ialah untuk mengurangkan rpm motor elektrik dan
mengoperasikan skru pemerah pada bahagian tengah mesin berkenaan.
Mesin juga boleh digunakan secara berasingan sama ada menggunakan pemerah atau pemarut.
Mekanismanya ialah mengubahsuai takal secara manual sama ada menarik atau menolak.
Mekanisme
ini direka berdasarkan masalah jika pengguna menggunakan pemarut
tetapi masih perlu menghasilkan santan menggunakan alat pemerah.
Mesin
perlu dihentikan operasinya sebelum menolak atau menarik takal yang
terletak pada motor elektrik secara manual bagi tujuaan mengasingkan
operasi kedua-dua fungsi mesin.
Bila memulakan operasi mesin, hanya pemerah sahaja yang akan bergerak manakala pemarut kekal statik.
Sementara
itu menurut Azmi, meskipun belum ada di di pasaran, mereka yang
berminat boleh menghubunginya untuk berbincang mengenai pembangunan
mesin. Tempoh dua minggu diperlukan untuk menyiapkan mesin berkenaan.
''Kumpulan
kami masih melakukan penyelidikan ke atas mesin ini bagi tujuan
penambahbaikkan. Tetapi sekiranya ada keperluan dari segi saiz kami
perlu perbagaikan saiz.
sumber- Utusan
sumber- Utusan
0 comments:
Post a Comment