Wan Mohd Shahril dipenjara dua tahun dan didenda RM5,000 selepas mengaku salah memecah masuk sebuah kedai menjual motosikal sebelum melarikan sebuah motosikal bernilai RM4,500. |
KUALA TERENGGANU- “Saya merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap saya kerana sudah insaf dan nekad akan berubah tidak melakukan perbuatan jenayah lagi,” demikian rayuan seorang buruh, Wan Mohd Shahril Wan Yunus, 29.
Bagaimanapun, rayuannya seolah-olah ‘menjerat dirinya’ sendiri kerana sebelum ini, dia memiliki beberapa rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dalam bangunan yang membuktikan dia hanya pandai berkata-kata.
Berdasarkan latar belakang itulah, rayuannya tidak berhasil apabila dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan denda RM5,000 atau jika gagal bayar 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohd Shahril selepas dia mengaku salah memecah masuk sebuah kedai menjual motosikal sebelum melarikan sebuah motosikal bernilai RM4,500.
Dia yang beralamat dari Kampung Segading Gelugor Kedai, di sini, mengaku melakukan pecah rumah dan mencuri motosikal Yamaha 125Z milik Mohd Amin Wan Ibrahim, 44, di kedai Maju Motor Enterprise Kampung Kubang Kota, Pengadang Baru, Jalan Kuala Berang, di sini, antara jam 3 hingga 4.30 pagi pada 1 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, pemilik kedai berkenaan telah ke kedainya kira-kira jam 4.30 pagi, 1 Ogos lalu mendapati dawai besi di kedainya sudah terbuka selain kunci penyelak di pintu dipotong.
Sebelum itu, mangsa meninggalkan kedainya dalam keadaan baik dan pemeriksaan lanjut mendapati sebuah motosikal Yamaha 125Z bernilai RM4,500 hilang lalu membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, Wan Mohd Shahril ditahan pada Jumaat lalu iaitu 10 Ogos jam 5 pagi oleh sepasukan polis dari Balai Polis Chabang Tiga yang ketika itu sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah di lampu isyarat Sekolah
Rendah Kebangsaan Losong selepas mendapati motosikal yang ditungganginya tanpa nombor pendaftaran.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal digunakan Wan Mohd Shahril pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment