Tuesday, August 14, 2012

Romney ikrar kembalikan kegagahan negara AS

ROMNEY berucap pada satu majlis kempen di Institut Teknikal NASCAR di Mooresville kelmarin.
ROMNEY berucap pada satu majlis kempen di Institut Teknikal NASCAR di Mooresville kelmarin.
WAUKESHA - Calon Parti Republikan, Mitt Romney kelmarin berikrar akan mengembalikan kegagahan Amerika Syarikat (AS) dan mengelakkan negara berkenaan daripada ditimpa 'bencana fiskal' ketika kempen beliau pada pilihan raya Presiden kali ini ditentang hebat oleh parti Demokrat.

Ketika kempen politik kini bertambah rancak, beberapa penyokong Presiden Barack Obama menyelar Romney dan regunya, Paul Ryan sebagai cuba menghapuskan keistimewaan yang dinikmati rakyat seperti insurans kesihatan awam dan pencen warga emas.

Kritikan tersebut dilemparkan dalam satu program bual bicara AS kelmarin.

Namun, pada masa yang sama, Romney dan Ryan berusaha menampilkan diri mereka sebagai penyelamat ekonomi AS yang kini dibebani kadar pengangguran yang tinggi.

"Saya mempunyai berita baik untuk anda. Negara ini akan bangkit kembali," kata Romney sambil diperhatikan oleh Ryan semasa berucap pada perhimpunan di fasiliti perlumbaan kereta NASCAR di negeri Carolina Utara.

Dalam ucapannya, Romney mengecam Obama kerana didakwa menjadikan negara AS 'semakin menyerupai Eropah,' yang dibebani 'kadar pengangguran tinggi, kadar gaji yang rendah'.

Ryan pula cuba menyuarakan perbezaan dasar parti Republikan berbanding pasukan kempen Obama ketika beliau berucap di hadapan sekitar 1,700 penyokong di dalam bangunan berkenaan dengan 4,000 orang lagi berada di luar.

"Kita boleh menyatakan sama ada kita adalah sebuah negara yang penuh dengan hutang, kesedihan dan kadar pengangguran tinggi yang mana kita memberikan masa depan yang kelam kepada anak-anak kita atau kita boleh merubah semua ini (dengan mengundi Parti Republikan) dan membantu negara ini kembali ke landasan betul," katanya.

Dalam pada itu, parti Demokrat melancarkan serangan balas dengan mendakwa pemilihan Ryan sebagai regu Romney untuk jawatan Naib Presiden AS pada pilihan raya kali ini sebagai bukti bahawa parti Republikan mahu menghapuskan program komuniti seperti Medicare dan pelan insurans perubatan bagi warga emas di AS.

"Beliau merupakan arkitek yang merancang untuk menamatkan Medicare seperti kita semua tahu dan meletakkan kos perubatan berjumlah ribuan dolar pada bahu warga emas," kata penasihat kanan kempen Obama, David Axelrod. 

sumber- AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...