Thursday, August 16, 2012

UPM Perkenal Inovasi Ratakan Batang Buluh Pertama Di Dunia

Demonstrasi teknologi 'V-Grooving' untuk mengubah batang buluh dari bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuataan papan buluh laminasi.
Demonstrasi teknologi 'V-Grooving' untuk mengubah batang buluh dari bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuataan papan buluh laminasi.
SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan kaedah baru untuk mengubah batang buluh dari bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuatan papan buluh laminasi dan inovasi baru itu merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Penyelidik Jabatan Pengeluaran Prof Madya Dr Edi Suhaimi Bakar berkata, teknologi itu dinamakan sebagai ‘V-Grooving’ (Pengaluran bentuk V) yang merupakan alternatif bagi menangani masalah bekalan kayu dalam industri kayu di negara ini.

“Saya yakin bahawa buluh mempunyai ciri-ciri yang sama, atau kadang-kadang lebih baik daripada kayu. Buluh dijadikan sebagai bahan alternatif kepada kayu.

“Biasanya papan buluh laminasi menggunakan kaedah ‘splitting-squaring’ (membahagikan kepada empat segi) tetapi ia tidak praktikal dan melibatkan 13 proses yang mengambil masa.

Dr Edi menunjukkan perbandingan antara kepingan buluh yang sudah diratakan dan sekeping lagi yang hampir diratakan.
Dr Edi menunjukkan perbandingan antara kepingan buluh yang sudah diratakan dan sekeping lagi yang hampir diratakan.
“Namun kaedah V-Grooving hanya melibatkan antara tujuh dan lapan proses sahaja menjadikannya sebagai kaedah yang lebih efisien untuk memudahkan operasi,” katanya pada sidang media sempena Putra Cipta Siri Tujuh 2012 di Fakulti Perhutanan, UPM di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Dekan Fakulti Perhutanan, Prof Datin Dr Faridah Hanum Ibrahim dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi, Penyelidikan dan Inovasi Putra Science Park, Prof Madya Dr Samsilah Roslan.

Dr Edi berkata, buluh dijadikan bahan alternatif kayu kerana ia cepat tumbuh, mesra alam, kuat dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

“Antara kelebihan lain bagi kaedah V-Grooving ialah ia menjimatkan kos pengeluaran dan bahan mentah serta menghasilkan produk berkualiti dan bahan hijau.

“Inovasi baru ini juga meningkatkan pulangan bagi isi padu buluh yang telah diratakan dari 65 peratus ke 85 hingga 90 peratus,” katanya.

Protaip bagi teknologi 'V-Grooving' yang kini sedang menunggu pihak yang berminat untuk membangunkannya kepada skala yang sebenar.
Protaip bagi teknologi 'V-Grooving' yang kini sedang menunggu pihak yang berminat untuk membangunkannya kepada skala yang sebenar.
Menurut Dr Edi, kaedah V-Grooving dapat menghasilkan mesin pemprosesan ringkas untuk operator separuh mahir serta usahawan kecil dan sederhana.

“Pengenalan mesin ini bukan sahaja memberikan peluang pekerjaan tetapi juga menjana pendapatan baru untuk masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Saleh berkata, sebenarnya banyak teknologi yang berkaitan dengan perkayuan dan salah satu daripadanya ialah ‘V-Grooving’.

“Kami melakukan penyelidikan-penyelidikan yang berimpak tinggi dan UPM meneraju pembangunan dan penyelidikan dalam perkayuan.

“Produk ‘V-Grooving’ merupakan sesuatu yang unik. Jika tidak, ia tidak dipatenkan pada awal tahun,” katanya.

Dr Mohd Salleh.
Dr Mohd Salleh.
Mengenai mengkormersialkan teknologi itu ke peringkat antarabangsa berikutan ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia, Dr Mohd Saleh berkata, “Itulah hasrat kita sebenarnya tetapi kita sebagai sebuah universiti tidak boleh beroperasi sebagai entiti perniagaan.

“Bagaimanapun, kita amat berharap agar produk ini disasarkan untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Menurut Dr Mohd Saleh, setakat ini lebih 10 pihak yang berminat untuk mengadakan kerjasama dengan UPM melibatkan teknologi ‘V-Grooving’.

“Pada masa ini, ia masih dalam peringkat perbincangan untuk pelesenan. Ia (pelesenan) merupakan langkah yang penting dalam teknologi yang dihasilkan sebelum ia boleh dibangunkan sebagai produk berskala yang sebenar,” katanya.

Mengenai buluh sebagai bahan alternatif kayu, Dr Mohd Salleh berkata, ia merupakan aspek yang amat penting berdasarkan kemapanan dalam industri perkayuan.

Dr Edi (kiri) bersama seorang lagi penyelidik, Prof Madya Dr Zaidon Ashaari bersama pengiktirafan teknologi 'V-Grooving' yang mendapat Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012.
Dr Edi (kiri) bersama seorang lagi penyelidik, Prof Madya Dr Zaidon Ashaari bersama pengiktirafan teknologi 'V-Grooving' yang mendapat Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012.
“Produk-produk yang berpotensi untuk kemapanan dalam industri harus diketengahkan. Ini yang kita dapat lihat pada potensi buluh.

“Kita perlu menambah nilai kepada sesuatu produk. Salah satu kemampuan produk (V-Grooving) adalah menambah nilai buluh,” katanya.

Beliau menambah, buluh mempunyai ketahanan yang sesuai untuk digunakan dalam pembinaan bangunan selain untuk bahan membuat perabot dan perhiasan.

Selain Dr Edi, teknologi 'V-Grooving' dilakukan oleh sekumpulan penyelidik iaitu Prof Madya Dr Zaidon Ashaari, Prof Madya Mohd Zin Jusoh dan Dzafarin Saharani, masing-masing daripada Fakulti Perhutanan UPM.

Inovasi V-Grooving mendapat pengiktirafan Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012.

sumber- MStar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...