Wednesday, September 5, 2012

Guru al-Quran mati dibunuh

Wan Kalthom Wan Husin mati dibunuh
Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.
PASIR PUTEH - Guru al-Quran yang membantu kerja memasak untuk majlis hari raya di rumah anaknya di Kampung Jebak, Jeram, dekat sini ditemui maut dibunuh dengan sudip.

Ketika kejadian, mangsa, Wan Kalthom Wan Husin, 68, balik ke rumah yang terletak hanya 100 meter dari rumah anaknya kira-kira jam 10 pagi untuk mengambil sudip.

Selepas tiga jam tidak muncul, anak mangsa, Raja Zailah Raja Hussin, 40, menyuruh anaknya, Nik Mohd Irham Razali, 13, menjenguk ibunya kira-kira jam 1 petang.

Nik Mohd Irham berkata, ketika dia sampai, pintu depan dan tengah berkunci dari dalam dan dia memasuki rumah untuk mencari neneknya melalui pintu belakang yang terbuka.

“Saya terkejut melihat nenek tertiarap di lantai dengan kepalanya berdarah,” katanya.

Raja Zailah berkata, dia yang tergamam melihat ibunya terbaring kaku bergegas memberitahu penduduk dan saudara mara.

“Ibu saya baik orangnya, tidak memusuhi sesiapa pun di kampung ini tetapi saya kesal kerana ada orang yang mengkhianatinya.

“Dia tinggal bersendirian di rumah itu pada siang hari sahaja kerana dia tidur di rumah saya pada sebelah malam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati, ada kesan luka sepanjang lapan sentimeter (cm) dan tiga cm lebar di belakang kepala mangsa, selain luka di pipi kiri sepanjang dua cm panjang dan satu cm lebar.

“Kami percaya penjenayah tersebut menggunakan sudip yang dipegang mangsa berikutan menemui peralatan memasak itu yang terbelah dua,” katanya.

Mazlan berkata, siasatan juga mendapati suspek melakukan jenayah tersebut dengan tergesa-gesa kerana tidak menggeledah rumah tersebut dan hanya mengambil seutas gelang tangan yang bernilai kira-kira RM4,000 dan tidak mengambil cincin serta subang yang dipakai mangsa.

“Kami percaya suspek mengekori mangsa ketika Wan Kalsom pulang ke rumahnya dan dipercayai mengenali suspek berikutan tiada kesan pergelutan di dalam rumah tersebut.

“Suspek juga dipercayai berasal daripada kampung sama dan kami meminta orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut kepada Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999 bagi membantu polis untuk mengesan suspek,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...