Kekasih mangsa warga Kanada kelihatan sugul menerima berita kematian teman lelakinya. |
SUBANG JAYA- “Jangan persoal tindakan ini, saya minta maaf atas segalanya dan wasiat sudah dibuat untuk semua anak-anak,” itu antara kandungan dua nota yang ditinggalkan seorang pensyarah sebelum mangsa ditemui tergantung di luar balkoni apartmen disewanya di SS12, di sini pagi, semalam.
Difahamkan, mangsa meninggalkan dua nota, satu ditujukan kepada lima anaknya yang tinggal di Kanada manakala sekeping lagi ditujukan kepada teman wanita yang juga bekerja sebagai pensyarah di kolej sama dengannya di Subang Jaya, di sini.
Sebelum kejadian, mangsa, Michael Dellotineville, 48, warga Kanada yang juga Ketua Jabatan sebuah kolej swasta di Subang Jaya di sini, dikatakan mundar-mandir di tingkat bawah pangsapuri itu kira-kira jam 2 pagi.
Difahamkan, mayat mangsa yang tergantung di tingkat lima pangsapuri itu ditemui penduduk yang tinggal berdepan dengan kediaman dihuni sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden kira-kira jam 8.20 pagi, semalam.
Katanya, mangsa ditemui sudah tidak bernyawa dengan leher dijerut dengan kain dipercayai langsir di luar beranda rumah yang disewa sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, rumah mangsa dikunci dari dalam namun segugus kunci ditemui di dalam kasut yang tersusun di depan pintu berkemungkinan untuk memudahkan polis masuk ke dalam rumah mengambil mayatnya.
Menurutnya, polis percaya perselisihan faham dengan teman wanita warga Kanada berusia awal 30-an menjadi punca mangsa mengambil keputusan berkenaan.
“Mangsa yang sudah bercerai dengan isterinya di Kanada tinggal seorang diri di apartmen itu dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej sejak empat tahun lalu.
“Kita percaya mungkin berlaku perselisihan faham antara dia dan teman wanitanya berdasarkan tulisan nota ditinggalkan yang ditujukan kepada wanita itu. Mangsa meminta teman wanitanya tidak membangkitkan tindakannya dan tidak mengingatinya lagi,” katanya.
Yahaya berkata, sekeping lagi nota turut ditemui di atas meja makan dalam rumah berkenaan yang ditujukan kepada lima anak mangsa masing-masing tiga perempuan dan dua lelaki yang dikatakan menetap di Kanada. Anak mangsa berusia antara 15 dan 20 tahun.
Katanya, tiada laporan menunjukkan mangsa mempunyai masalah mental namun insiden menjurus kepada tekanan yang dialami daripada teman wanitanya.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah lain, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment