Wednesday, September 5, 2012

Suami Belasah Isteri Di Butik

Suami Belasah Isteri
Suami Belasah Isteri
IPOH – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 20 minit menunjukkan seorang suami belasah isteri di sebuah butik, di sini, menjadi bualan hangat pengguna laman sosial facebook sejak kelmarin.

Rakaman CCTV bertarikh 23 Ogos 2012 itu telah dimuat naik ke laman facebook oleh mangsa sendiri dan menunjukkan pasangan berkenaan bertikam lidah terlebih dahulu sebelum insiden berkenaan berlaku.

Ketika mangsa cuba keluar dari kedai tersebut, lelaki berkenaan telah bertindak mencekik leher, menampar dan menarik rambut mangsa.

Wanita berusia 19 tahun itu juga dibelasah menggunakan telefon bimbit yang dirampas lelaki berusia 26 tahun, dipercayai suaminya ketika mangsa cuba menghubungi ibunya.

Mangsa dapat diselamatkan apabila ibunya tiba di butik berkenaan dan kemudiannya dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta, di sini, untuk menerima rawatan.

Turut dimuat naik oleh mangsa ke laman facebooknya adalah foto yang menunjukkan kesan lebam di kedua-dua lengannya.


Rentetan daripada peristiwa itu, Ketua MCA Bahagian Ipoh Timur, Datuk Thong Fah Chong tampil untuk menawarkan khidmat nasihat dan guaman kepada mangsa yang dipercayai sedang hamil dua bulan.

Beliau memaklumkan, MCA Bahagian Ipoh Timur akan melakukan yang terbaik bagi membantu mangsa menyelesaikan masalah keluarga serta suaminya.

“Kami harap wanita berkenaan dapat menghubungi MCA Bahagian Ipoh Timur untuk mendapatkan bantuan berhubung kejadian itu setelah laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa telah membuat laporan polis berhubung perlakuan suaminya itu, kelmarin.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kejadian berkenaan dipercayai berpunca dari masalah dalam kalangan ahli keluarga.

“Sebelum itu, kita menerima laporan polis daripada bapa mangsa berhubung perlakuan menantunya dan selepas itu, mangsa membuat laporan serta mahu tindakan segera diambil ke atas suaminya.

“Pergaduhan dipercayai berlaku apabila keluarga mangsa campur tangan dalam urusan perniagaan dan kehidupan suspek dan mangsa sendiri,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...