gambar hiasan |
KUANTAN – “Saya tidak pasti sama ada pencuri itu sudah lama memerhatikan gerak-geri saya atau kebetulan dia lalu di situ dan nampak saya letak lori jauh dari kawasan rumah,” kata Azahari Aziz, 32.
Katanya, dia menyedari kehilangan lorinya kira-kira jam 6.45 pagi kelmarin.
“Saya terpaksa letak lori agak jauh berikutan keadaan jalan rumah saya yang agak sempit, tidak muat untuk laluan lori itu.
“Memang tidak dinafikan, apabila mendengar cerita rakan-rakan yang kehilangan lori, saya jadi takut untuk letak lori di situ. Pun begitu, saya tiada pilihan lain,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, jiran yang tinggal di hadapan rumahnya memberitahu melihat lori itu bergerak kira-kira jam 6 pagi kelmarin.
“Dia tidak mengesyaki apa-apa dan berfikir saya yang membawa lori itu. Memang tidak nampak apa-apa yang mencurigakan ketika itu.,” katanya.
Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Indera Mahkota, kelmarin.
Azahari berkata, lori 10 tan itu digunakan untuk mengangkut batu, tanah dan pasir sebelum dihantar kepada pelanggan.
“Kejadian itu menyebabkan kerja saya tergendala serta terpaksa bercuti di rumah sehingga mendapat lori ganti,” katanya.
Sementara itu, pemilik lori, Loh Yit Wan, 55, berkata, sebelum ini dia sudah kehilangan sebuah pacuan empat roda dan kini lori yang bernilai RM 70,000 turut lesap dikebas pencuri.
“Saya harap pihak berkuasa akan memandang serius tentang perkara ini serta mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.
“Ini kerana, dalam tempoh dua bulan, tiga kejadian curi lori berlaku di Kuantan yang membabitkan lori kepunyaan rakan saya. Sebelum ini, saya hanya mendengar rungutan mereka, tetapi hari ini anak buah saya pula mengalami kejadian yang sama,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment