Wednesday, September 5, 2012

Tukar siaran televisyen, adik maut ditikam abang

bunuh adik

KUALA TERENGGANU - Gara-gara perselisihan faham menukar siaran televisyen, seorang pemuda maut dipercayai ditikam abangnya di Kampung Telaga Papan di Kemaman di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu kedua-dua beradik itu dikatakan bergaduh dan bergelut kerana salah faham tersebut.

"Semasa bergelut suspek mencapai objek tajam dan menikam perut mangsa.

Sebelum itu pada hari yang sama kedua beradik ini juga bergaduh kerana berebut motosikal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya mangsa, berusia 23 tahun, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kerteh, Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

"Selepas pergelutan itu suspek yang berusia 37 tahun terus melarikan diri.

Mangsa dipercayai meninggal dunia setelah terkena tikaman tajam pada bahagian badan," katanya.

Manoharan berkata suspek berjaya ditangkap kira-kira 4.15 pagi tadi di Kampung Telaga Papan, Kemaman.

Katanya hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...