JAAFAR (kiri sekali) dan anaknya, Ahmad Jiwari (tiga dari kiri) berusaha menutup muka mereka ketika dibawa keluar dari Mahkamah SesyenPetaling Jaya semalam. |
PETALING JAYA - Hanya kerana berebut sebuah meja usang, seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang peniaga air minuman di Downtown The Mines dekat sini bulan lepas.
Bagaimanapun, Datuk Seri Jaafar Shaari, 50, yang juga berniaga air minuman di tempat sama dan anaknya Ahmad Jiwari Jaafar, 23, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Haiyatul Akmal Abdul Aziz.
Jaafar dan Ahmad Jiwari didakwa bersama-sama melakukan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian terhadap Azahari Sidek, 44, di bazar larut malam di Downtown The Mines, Seri Kembangan, Selangor antara pukul 3.40 pagi dan 5.30 pagi 13 Ogos lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Jaafar yang hadir berpakaian kemeja-T warna kelabu dan Ahmad Jiwari yang berkemeja-T berkolar warna hitam kelihatan tenang. Jaafar sesekali memandang ke arah isteri dan adik iparnya yang duduk di galeri awam.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab. Rashid menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Datuk Abd. Halim Yahya yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jaminan itu dikurangkan kerana penjamin bagi Jaafar iaitu isterinya didakwa hanya bekerja kilang manakala penjamin bagi Ahmad Jiwari pula ialah ibu saudara tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan anak-beranak itu diikat jamin setiap seorang RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan pada 23 Oktober depan untuk tarikh sebutan kes itu.
Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut.
Pada 14 Ogos lepas, akhbar melaporkan seorang peniaga air minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di bazar larut malam di kawasan Downtown The Mines pada waktu awal pagi.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas mangsa yang merupakan seorang duda mengambil sebuah meja usang yang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian dan meletakkan meja tersebut berhampiran gerainya.
Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi oleh seorang lelaki yang mendakwa meja itu miliknya hingga berlaku pergaduhan antara mereka sebelum mangsa kemudian dibelasah sekumpulan lelaki.
Tindakan tersebut menyebabkan mangsa cedera teruk sebelum dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian semalam mendapati gerai milik mangsa masih beroperasi dengan perniagaannya diambil alih oleh salah seorang adiknya.
Bagaimanapun, gerai milik Datuk Seri Jaafar dan anak lelakinya yang didakwa menyebabkan kematian mangsa tidak dapat dikesan lokasinya.
Difahamkan, sebelum tragedi tersebut, Azahari dan Datuk Seri terbabit berkawan baik.
Namun hanya disebabkan perebutan sebuah meja usang, dua sahabat itu bergaduh sehingga menyebabkan Azahari yang berasal dari Temerloh, Pahang meninggal dunia.
Mangsa mempunyai tiga anak lelaki masing-masing berusia antara 12 dan 15 tahun.
sumber- Kosmo
0 comments:
Post a Comment