Saturday, September 22, 2012

Sarjan, Lans Koperal dituduh makan rasuah

Jawatan Kosong SPRM
YANG GHAZALI (kanan) dan Vathumalai menutup muka masing-masing ketika berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen George Town semalam.
GEORGE TOWN - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki pada 13 dan 14 Mei lalu.

Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 56, dan Lans Koperal M. Vathumalai, 50, masing-masing dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Siti Salwa Ja'afar.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan RM400 daripada Tan Seong Soon, 41, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua warga China, Fan Qiyan dan Wei Youmei yang bekerja tanpa permit yang sah.

Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat kerja warga China itu di sebelah premis makanan, Loo Yee Fish Spa & Restaurant, Lorong Madras di sini pada pukul 11.20 malam, 13 Mei lalu.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh memperoleh RM400 daripada Seong Soon bagi pihak sepupunya, Tan Seong Hooi pada pukul 12.10 malam keesokan harinya di tempat yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap warga China terbabit.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Siti Salwa memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. Mereka membayar ikat jamin tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Firdaus Abdullah dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jannu Babjan.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...