Wednesday, September 12, 2012

Simpan kereta curi di hospital

kereta kastam dilelong
SEBAHAGIAN daripada kereta curi yang ditemui di tempat letak kereta Hospital Tengku Ampuan Rahimah dipamerkan pada sidang akhbar di Klang semalam.
KLANG – Taktik kumpulan penjenayah yang menjadikan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sebagai tempat menyembunyikan kereta curi terbongkar selepas polis menemui lima buah kereta curi di kawasan tempat letak kereta di premis itu Sabtu lalu.

Ketika ditemui pada pukul 12 tengah hari itu, salah sebuah kereta terbabit didapati dijadikan tempat untuk suspek menyembunyi enam bilah parang, enam topeng ski, enam sarung tangan getah dan tiga helai jaket disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pembongkaran bermula apabila polis menjalankan rondaan di hospital itu sejak dua minggu lalu.

Katanya, polis kemudian membuat pemeriksaan selepas curiga apabila mendapati kereta itu tidak beralih di tempat letak kereta terbuka itu selama seminggu.

“Semakan mendapati kereta yang tidak berkunci dan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu dicuri di Batu 9 Cheras, Kajang, Bestari Jaya dekat sini dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Sebuah kereta Proton Waja pula mengandungi peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, kumpulan terbabit dipercayai menjadikan HTAR sebagai tempat meletakkan kereta curi sebelum dijual atau digunakan untuk melakukan jenayah.

Menurut Mohamad, pihaknya masih belum membuat tangkapan dan masih menyiasat mengapa penjenayah memilih hospital untuk meletakkan kereta curi itu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad berkata, polis menahan lima pencuri kereta mewah dan merampas 10 paket syabu, sebuah kereta Honda Accord, 11 keping nombor plat kenderaan dan dua rangkai anak kunci kereta Jaguar dan Porsche Ahad lalu.

Tangkapan pertama dilakukan di sebuah hotel di Taman Chi Liung di sini bersama kereta Honda Accord yang dicuri di Pudu, Kuala Lumpur sebelum polis menahan empat lagi termasuk seorang wanita di sekitar Klang.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...