Saturday, October 13, 2012

Angkara anak setan

GOMBAK: Satu keluarga di Selayang di sini, terkejut apabila menemui nota yang antara kandungannya berbunyi ‘sila hantar RM100,000 dekat Sogo bulan Disember ini’ selain anak lelaki berusia 13 tahun hilang bersama wang RM5,000 serta Proton Gen.2 milik bapanya, semalam, menyebabkan mereka mengesyaki dia diculik lalu membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Menurut sumber polis, kehilangan remaja terbabit disedari bapanya berusia 40-an jam 7.20 pagi semalam.

“Bapa mangsa menyedari kehilangan anak lelakinya itu selepas terbaca nota berkenaan yang ditinggalkan di ruang tamu.

“Terkejut dengan penemuan nota berkenaan, bapa mangsa memeriksa kenderaannya dan mendapati keretanya lesap,” katanya.

Menurut sumber, bimbang dengan keselamatan anaknya, dia membuat laporan polis.

basikal Fixie
gambar hiasan
“Polis yang menerima maklumat itu menubuhkan pasukan khas dan hasil siasatan terhadap nota berkenaan timbul keraguan kerana tulisan nota itu sama dengan tulisan remaja lelaki terbabit.

“Polis mengesan remaja terbabit sebelum menemui Proton Gen.2 itu di sebuah pusat beli-belah jam 4 petang semalam, namun remaja itu tiada di situ,” katanya.

Menurut sumber, selepas sejam menunggu, remaja itu dilihat bersama tiga rakannya dan polis menahan mereka serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati semua remaja terbabit membeli tiga basikal Fixie dan berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di ibu kota menggunakan wang dilarikan remaja terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan penahanan remaja terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...